PROTON X90 Serba Baharu dengan enjin hibrid ringan bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
PROTON X90 Serba Baharu dengan enjin hibrid ringan bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Oleh: Lizam Ridzuan


Subang Jaya: Proton mengumumkan bakal melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) serba baharu menerusi model X90 yang pertama menggunakan enjin hibrid ringan untuk jenama itu dengan konsep "Intelligence That Empowers".

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Li Chunrong berkata ia adalah sebagai usaha Proton memasuki pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) bagi penawaran teknologi enjin hijau yang membantu mengurangkan pelepasan karbon sebagai standard baru dalam mobiliti mampan.

"Proton X90 adalah model ketiga dalam siri X Proton selepas X50 dan X70 yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Proton, Tanjung Malim adalah komitmen syarikat menyokong industri automotif tempatan dengan memperkenalkan teknologi baharu kepada ekosistem.

"Ia ditawarkan menerusi empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk," katanya kepada media di studio rekaan Proton di sini hari ini.

Proton X90 Serba Baharu juga adalah SUV dalam segmen-D dengan enjin 1.5L TGDi dengan trenkuasa Sistem Motor Listrik Sinergi (EMS) 48V dengan bateri lithium-Ion 48V menjana kuasa 190PS dan 300Nm dengan transmisi dwi-klac 7 kelajuan (DCT).

Rekaan luaran dengan kemasan hadapan 'Busur Ethereal' yang merentasi sehingga bawah lampu hadapan dan corak gril potongan berlian yang diinspirasikan daripada corak songket antara ciri warisan budaya Malaysia yang diketengahkan.

Ruang dalaman dengan ciri meter LCD 10 inci digital sepenuhnya dan sistem infotainment bersaiz 12.3 inci untuk varian Flagship menyerlahkan gaya teknologi.

Ciri keselamatan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) juga ditambah dengan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW) dan Maklumat Papan Tanda (TSI).

Model X90 Serba Baharu ini juga dilengkapi ruang kargo sehingga 2,050 liter menjadikan ia lebih praktikal bagi keperluan muatan atau penumpang.

Ia juga sudah diuji lebih 1.2 juta kilometer (km) dalam tempoh 36 bulan sejak dibangunkan serta suspensi belakang multi-link yang ditala mengikut keadaan permukaan jalan raya di negara ini.

Proton akan membuat jelajah sesi prebiu di enam bandar terpilih bermula 8 April hadapan untuk pelanggan melihat dengan lebih dekat model ini serta tarikh mula untuk melakukan tempahan yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 6:48 PM