HELIKOPTER MD530G dikendalikan oleh anggota ATM mempamerkan aksi tangkas di udara ketika Latihan Kuasa Tembakan 2022. FOTO Bernama
HELIKOPTER MD530G dikendalikan oleh anggota ATM mempamerkan aksi tangkas di udara ketika Latihan Kuasa Tembakan 2022. FOTO Bernama
BERNAMA

Tampin: Ruang udara Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas dekat sini, digegarkan dengan pertunjukan aset baharu Tentera Darat Malaysia (TDM) helikopter MD530G bersempena Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022.

Helikopter tempur buatan Amerika Syarikat itu dilengkapi sistem persenjataan seperti pelancar roket 70 milimeter (mm), gatling gun 7.62mm serta mesingan berat 12.7 mm.

MD530G berperanan sebagai helikopter tempur ringan dengan kemampuan menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer selain melaksanakan tugas tinjauan udara.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Segmen tembakan LKT 2022 berlangsung hampir dua jam bermula jam 10 pagi turut mempertontonkan pelaksanaan latihan ketenteraan dan kuasa tembakan melibatkan aset infantri, mekanis, armor, artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pertunjukan kali ini melibatkan 2,300 anggota dan pegawai serta 644 pelbagai jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan termasuk PT 91M Pendekar, AV8 Gempita, AV4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan serta Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

LKT kali ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan pasukan tempur dalam operasi ketumbukan 3 Divisyen selaku Divisyen Gabungan Penggempur serta memberi pendedahan kepada penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).

Sementara aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155mm G5 MK III, Meriam 105mm PH L5, pelancar peluru berpandu anti kereta kebal (ATGM) Ingwe, Baktar Shikan, mortar 120mm dan 81mm serta pelancar roket RPG-7.

Helikopter yang terlibat ialah Super Lynx dan AS555 Fennec TLDM, EC725 TUDM dan Agusta A109 TDM.

Segmen tembakan turut menunjukkan keupayaan 'Tactical Display Air Support' (CAS) membabitkan pesawat TUDM.

Aset terbabit termasuk F/A18D Hornet dan BAE Hawk 208.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau berbangga dapat melihat aksi helikopter MD530G telah mula dimanfaatkan dan diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.

"Saya dapat melihat sendiri aset-aset diperoleh dan begitu bangga menyaksikan helikopter MD530G. Sebelum ini, orang kata (aset itu) tiada, tetapi hari ini, ia beroperasi.

"Isu mengenainya dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh pengguna yang sangat memerlukannya iaitu PUTD," katanya kepada media selepas pertunjukan.

Beliau berkata, menerusi pengujian ini, ATM khususnya TDM berpeluang menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keupayaan aset mereka pada masa akan datang.

Ditanya sama ada kerajaan akan membeli tambahan helikopter tersebut daripada enam yang sedia ada ketika ini, Hishammuddin memberitahu, ia bergantung kepada kewangan negara.

"Kita akan lihat juga, apa ancaman yang kita hadapi, kalau ancaman adalah di Lahad Datu, berdepan dengan penculik-penculik, tidak perlu dengan helikopter penyerang seperti AH64 Apache (buatan Amerika Syarikat) dan Tiger (buatan Perancis).

"MD530G sudah mencukupi asalkan dilengkapi dengan senjata sesuai. Ia kini bukan sahaja boleh terbang tetapi dilengkapi senjata untuk berdepan ancaman tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 3:51 PM