Lizam Ridzuan

Selama 50 tahun, Honda Civic menjadi pilihan kerana menawarkan kenderaan yang berkualiti, prestasi diyakini dan pada harga mampu milik (ketika itu).

Ia melalui pelbagai transformasi dan sudah memasuki generasi ke-11 yang tampil ciri teknologi masa hadapan.

Bagi meneruskan legasi, Honda Civic Serba Baharu dilancarkan awal tahun ini ke pasaran tempatan.

Ia terdiri daripada tiga varian iaitu E, V dan RS yang menawarkan rekaan dan kemasan baharu selain enjin dipertingkat.

Untuk pengalaman dan pemanduan lebih terperinci, satu sesi pandu uji media model itu diadakan ke Pulau Pinang anjuran Honda Malaysia.

Sepuluh Honda Civic RS disediakan dengan setiap kenderaan disertai oleh tiga media yang dilepaskan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura.

DILEPASKAN oleh Hironobu Yoshimura.
DILEPASKAN oleh Hironobu Yoshimura.

Ia meliputi perjalanan dari Subang ke Tanjong Malim, Ipoh dan singgah di Muzium Perak di Taiping.

Melihat kepada rekaan luaran, ia menampilkan reka bentuk identiti alaf baharu untuk model sedan dalam segmen-C.

Sudah pasti untuk RS ia tampil lebih sporty seperti kemasan hitam berkilat pada cermin sisi, antena sirip jerung, pemegang pintu luar dan spoiler but.

Ia datang dengan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan gril kemasan krom serta hitam.

HONDA Civic Serba Baharu 2022.
HONDA Civic Serba Baharu 2022.

Pada bahagian belakang, dilengkapi ekzos berkembar kemasan krom dengan kluster lampu LED sebagai ciri DNA Civic.

Rekaan menggunakan teknologi 'Laser Brazing' diperkenalkan buat julung kali bagi menampakkan garisan bumbung lebih kemas.

Ia juga datang dengan padanan rim aloi hitam 'Matte' bersaiz 18 inci.

Menjengah ke ruang dalaman, Civic 2022 tampil segar dengan tumpuan mata penulis sudah pasti ke arah papan pemuka dengan panel 'Honeycomb Mesh' yang menutup corong penyaman udara.

Sistem infotainmennya bersaiz 9 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ia juga dilengkapi kerusi larasan elektrik lapan ketetapan manakala di konsol tengah, terdapat tuil gear, butang brek tangan dan mod pemanduan.

RUANG kabin elegan dan selesa.
RUANG kabin elegan dan selesa.

Ruang butnya juga luas dengan kapasiti simpanan sehingga 497 liter.

Konvoi ke Pulau Pinang tidak hanya melalui lebuh raya malah menyelusuri laluan jalan Persekutuan melintasi bandar dan kampung.

Selain lebih selesa, ia lancar pada sebarang kelajuan menerusi enjin 1,498cc VTEC Pengecas Turbo, empat silinder DOHC.

Ia standard untuk semua varian.

Ia menawarkan tenaga maksimum 182PS pada 6,000rpm dan tork 240Nm pada 1,700 hingga 4,500rpm yang menyamai enjin berkapasiti 2.4L.

Selain itu, ia menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport bagi disesuaikan dengan keperluan.

Untuk lebih responsif, penulis mencuba mod Sport dan ia menghemburkan kuasa dengan baik terutama sekali untuk memintas kenderaan atau pada laluan laju di lebuh raya.

Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) pula lancar mengalirkan tenaga.

SISTEM infotainmen bersaiz 9 inci.
SISTEM infotainmen bersaiz 9 inci.

Penulis juga kagum dengan Bunyi, Getaran dan Kekasaran (NVH) yang dipertingkatkan menjadikan kabin lebih senyap melalui pemasangan insulator, penebat alas lantai dan semburan busa di bahagian kerangka.

Bukan hanya prestasi malah elemen keselamatan melalui 'Honda Sensing' juga menjadi elemen tambahan untuk pemandu.

Ia dilengkapi antaranya dengan Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas, Kawalan Pelayaran Adaptif, Sistem Mengikuti Kenderaan dan Sistem Amaran Perlangaran Hadapan.

Ciri keselamatan lain ialah Honda LaneWatch, Sistem Pengesan Parkir dan Kamera Pemandangan Belakang Pelbagai Sudut.

KAPASITI but 497 liter.
KAPASITI but 497 liter.

Secara keseluruhan, Civic Serba Baharu ini dilengkapi teknologi inovatif dan pintar, bakal menarik perhatian golongan muda, urban dan profesional.

Ia hadir dengan reka bentuk premium, seronok untuk dipandu serta didatangkan dengan teknologi termaju.

Lima pilihan warna ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu merah dan kelabu selain putih mutiara, perak dan hitam mutiara.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Civic Serba Baharu dijual pada harga RM125,634 (E), RM138,043 (V) dan RM144,350 (RS).

INFO

• Honda adalah pengeluar kenderaan Jepun yang pertama melancarkan enjin VTEC Pengecas Turbo untuk Civic Generasi ke-10 pada tahun 2016.

• Ia mendapat sambutan di luar jangkaan dan sejak itu, 60 peratus model Civic yang terjual adalah varian Pengecas Turbo.

• Honda Civic Serba Baharu ini ialah 30 milimeter (mm) lebih panjang, 1mm lebih rendah selain 3mm lebih lebar berbanding model sebelumnya.

HONDA CIVIC SERBA BAHARU 2022

Enjin: 1,498cc VTEC Pengecas Turbo, empat silinder DOHC

Transmisi: Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT)

Kuasa maksimum: 182PS pada 6,000rpm

Tork maksimum: 240Nm pada 1,700-4,500rpm.

Ciri keselamatan: Honda LaneWatch, Sistem Pengesan Parkir, Kamera Pemandangn Belakang Pelbagai Sudut, Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Kekal Brek Auto (ABH), Isofix, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Honda Sensing.

Harga: Harga: RM125,634 (E), RM138,043 (V) dan RM144,350 (RS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 6:53 AM