TOYOTA Malaysia Flagship Stores kini dibuka di Lazada dan Shopee.
TOYOTA Malaysia Flagship Stores kini dibuka di Lazada dan Shopee.
Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor (UMWT) kini menawarkan model-model terpilih Toyota secara atas talian melalui dua platform e-dagang popular iaitu Lazada dan Shopee.

Presidennya Ravindran K berkata selepas penularan Covid-19, orang ramai lebih selesa membeli-belah secara atas talian dan untuk itu mereka menawarkan Toyota Malaysia Flagship Stores yang dibuka 24 jam, tujuh hari seminggu serta boleh dikunjungi pada bila-bila masa.

"UMWT mengambil inisiatif ini yang menawarkan pengalaman pembelian kenderaan Toyota lebih mudah serta tawaran dan penjimatan istimewa adalah juga kesinambungan kepada Toyota Online Showroom yang diperkenalkan sebelum ini," katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Melalui platform atas talian itu, yuran tempahan adalah serendah RM250 dan bayaran boleh dibuat sama ada menggunakan kad kredit atau pindahan wang daripada akaun bank secara elektronik.

Sebaik tempahan sebagai proses pertama pembelian, diikuti layanan penasihat jualan daripada cawangan sah Toyota yang berdekatan serta sokongan perbualan secara dalam talian juga disediakan.

Antara promosi yang sedang berlangsung ialah penjimatan sehingga RM22,760 untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner yang disertakan dengan perkhidmatan servis berjadual percuma selama lima tahun (tertakluk terma dan syarat).

Melalui tempahan di Lazada dan Shopee juga pengguna akan menerima tawaran istimewa untuk model Toyota Innova, Harrier dan Hilux (tahun pembuatan 2019 sahaja).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:38 AM