Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor (UMWT) menyambut baik pengumuman penyediaan insentif Pelan Pemulihan Ekononi Jangka Pendek Kerajaan untuk mengimbangi kesan pandemik Covid-19.

Bermula 15 Jun sehingga 31 Disember 2020, kerajaan membenarkan pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baru di negara ini.

Ini melibatkan model pemasangan tempatan (CKD) yang menerima sebanyak 100 peratus pengecualian sementara untuk model import sepenuhnya (CBU) sebanyak 50 peratus.

Presiden UMWT, Ravindran K berkata ia adalah berita baik untuk industri automotif dan berterima kasih kepada kerajaan membantu sektor ini yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Melalui langkah ini penjimatan penuh akan diberikan kepada pelanggan dan menjangkakan penurunan harga kenderaan akan membantu memulihkan kembali industri ini,

"Kami juga akan membuat penyesuaian yang relevan dengan harga runcit dan akan melaksanakannya pada 15 Jun ini," katanya dalam satu siaran media petang tadi.

UMWT juga sudah menyediakan beberapa model terbaharu Toyota yang bakal dilancarkan ke dalam pasaran akan disesuaikan dengan harga yang terkini itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 11:24 PM