Lizam Ridzuan


HONDA Wave Alpha, motosikal ‘cub’ yang menjadi pilihan ramai kerana penggunaan bahan api yang efisien, selain harga jualan berpatutan, tampil berwajah baharu,

Diperkenalkan oleh Boon Siew Honda baru-baru ini, ia kini menampilkan ciri penggayaan moden dan rekaan corak grafik terkini.

Model Alpha Wave versi 2020 tampil dengan rekaan penutup hadapan yang disekalikan bersama perumah lampu isyarat yang mana bagi model sebelum ini, ia terletak berasingan.

Pelindung kerangka lebih bergaya dan berciri aerodinamik tambah sporty yang dipadankan dengan corak grafik baharu memberi inspirasi visual lebih menarik.

Antara ciri baharu lain ialah keselesaan pembonceng dipertingkatkan melalui material getah pada pemegang belakang yang hanya ditawarkan untuk varian rim tetuang (rim sport).

Honda Wave Alpha masih mengekalkan enjin 110cc silinder tunggal sejukan udara yang menjana kuasa 6.14Kw pada 7,500 rpm dan tork 8.42Nm pada 5,500 rpm.

Ia menawarkan ciri praktikal dan efisien seperti ruang simpanan bawah pelana, tangki bahan api 3.7 liter dan sistem penghidup elektrik serta tendang.

Paparan meter analog ringkas dan jelas untuk odometer, meter kelajuan, kedudukan gear dan tahap bahan api.

Honda Wave Alpha hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Merah Vivacity, Biru Pearl Nightfall dan Kuning Cipper.

Ia juga menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Dua varian ditawarkan iaitu rim jejari dan rim tetuang dijual pada harga RM4,339 dan RM4,589 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

#vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:05 AM