HONDA CBR1000RR Fireblade SP untuk ‘kaki trek’.
HONDA CBR1000RR Fireblade SP untuk ‘kaki trek’.
Mohd Razlan Salleh

Tidak menunggu lama, Boon Siew Honda (BSH) melancarkan tiga model terbaharu serentak untuk peminat jentera dua roda tempatan.

Model itu ialah Honda CBR1000RR Fireblade SP, CB 1100 RS dan Super Cub C125 menjadi taruhan terbaharu BSH bagi memenuhi selera penunggang sama ada di litar, bersantai atau sebagai koleksi eksklusif.

Paling mencuri tumpuan pastinya Supersport CBR1000RR Fireblade SP yang menawarkan prestasi tunggangan pantas, kerangka ringan dan dilengkapi teknologi perlumbaan untuk mereka yang gemarkan kelajuan atau sering beraksi di litar lumba.

Berkonsepkan ‘Next Stage Total Control’ yang berlainan berbanding model Fireblade, varian SP digerakkan enjin empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,000cc.

Jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 141kW pada 13,000 rpm dan tork 114Nm pada 11,000 rpm.

SISTEM ‘Throttle by Wire’ responsif.
SISTEM ‘Throttle by Wire’ responsif.

CBR1000RR Fireblade SP juga lebih ringan iaitu 195 kilogram (kg) selain menjadi motosikal Honda pertama dilengkapi sistem suspensi Ohlin Smart Electronically Controlled Suspensions.

Model ini juga hadir dengan tangki bahan api titanium kompak berkapasiti 16L, Sistem Brek Brembo, Quickshifter dan Cornering ABS.

Semua ini membolehkan CBR1000RR Fireblade SP menjadi antara model terpantas dalam kelasnya.

Dari segi luaran, Fireblade SP didatangkan dengan pelekat HRC Tricolor, bersama jalur berwarna putih dan biru yang menyerlahkan tradisi serta sejarah perlumbaan Honda.

Model berkuasa ini ditawarkan pada harga cadangan RM 114,999 (tanpa insurans).

CB1100 RS

Bagi peminat jentera retro, Honda CB1100 RS serba baharu menjadi antara model berkuasa tinggi yang dilancarkan BSH.

Model memiliki gaya motosikal sport era 1970-an itu kini tampil dengan tangki bahan api yang direka tanpa kesan pateri dan diserlahkan lagi dengan kehalusan pertukangan tangan.

Lampu utama tunggal berbentuk bulat dan dua panel meter memberikan imej klasik yang tidak ditelan zaman.

Namun, peredaran zaman menjadikan semua lampu didatangkan bersama teknologi LED.

Jentera menawan ini dikuasakan enjin empat lejang DOHC empat injap dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,140cc.

HONDA CB1100 RS bergaya.
HONDA CB1100 RS bergaya.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 66kW pada 7,500 rpm dan daya kilas 91Nm pada 5,500 rpm.

Jentera gaya retro CB1100 RS bakal menarik minat penggemar model klasik tempatan.

Disokong chasis menggunakan geometri lebih tajam, CB1100 RS dipadankan bersama suspensi hadapan Showa Dual Bending Valve (SDBV) yang lebih keras dan Twin Showa Remote Reservoir pada gantungan roda belakang.

Rim tempaan aluminium bersaiz 17 inci dan sistem brek Dual Radial-mount Four Piston serta Sistem Brek Anti-kunci (ABS) untuk tunggangan lebih baik.

Posisi tungangan lebih rendah dan kompak menjadikan tunggangan lebih santai.

Honda CB1100 RS dijual pada harga cadangan RM75,999 (tanpa insurans) boleh didapati dalam dua warna iaitu Darkness Black Metallic dan Mat Beta Silver Metallic.

EKZOS berkembar.
EKZOS berkembar.

Super Cub C125

Terdahulu, Super Cub C100 diperkenalkan buat kali pertama pada 1958 dan memainkan peranan penting dalam kehidupan sepanjang era berkenaan.

Selepas 60 tahun, ia terus menjadi motosikal paling popular sepanjang masa dengan angka jualan mencecah 100 juta unit di seluruh dunia.

Model paling terkenal itu akhirnya menjengah pasaran tempatan dengan versi baharu Super Cub C125.

Seiring namanya, motosikal ini didatangkan dengan penyejuk udara bersesaran 125cc dan enjin SOHC empat lejang dengan sistem suntikan bahan api menjana kuasa 6.79kW pada 7,500 rpm manakala tork maksimum 9.98Nm pada 5,000rpm.

SUPER Cub C125 berciri unik.
SUPER Cub C125 berciri unik.

Di sebalik gaya aslinya, Super Cub C125 dilengkapi ciri keselamatan moden seperti lampu LED dan Sistem Kunci Pintar Honda.

Model ini juga menawarkan akses kepada tangki minyak berkapasiti 3.7 liter di bawah pelana yang boleh dibuka secara elektronik.

Super Cub C125 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Biru Pearl Niltava, Merah Pearl Nebula dan Hitam Pearl Shinning pada harga cadangan RM13,999 (tanpa insurans).

CIRI klasik kekal.
CIRI klasik kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 9:05 AM