GAYA lasak Himalayan.
GAYA lasak Himalayan.
Lizam Ridzuan

Konsepnya yang direka untuk semua bentuk jalan dan kawasan yang tiada berlaluan menggambarkan keupayaan dan ketahanan jentera Royal Enfield Himalayan ini.

Mula dibawa masuk ke pasaran tempatan pada Mei lalu oleh RE Motorcycles, model versatil dibina menggunakan casis dan enjin serba baharu ini diimport sepenuhnya (CBU) dari India.

Kali pertama menunggang motosikal jenama ini memberikan pengalaman baru untuk penulis merasai karakter tenaga enjin silinder tunggal sejati.

Melihat pada reka bentuknya adalah gaya asas motosikal ‘dual-purpose’ dengan casis Half-Duplex Split Cradle tahan lasak, memberikan jarak kelegaan bumi 220 milimeter (mm).

KERANGKA teguh dan lasak.
KERANGKA teguh dan lasak.

Jurang ini adalah ideal untuk jentera ini melepasi sungai, batu, kayu serta halangan lain bagi tujuan penjelajahan laluan lasak dengan roda bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Kedudukan pemegang tinggi dan aras tempat duduk sekitar 800mm dipadankan dengan bentuk tirus tangki bahan api 15 liter, Himalayan menyediakan posisi menunggang selesa sama ada bagi perjalanan jarak dekat atau jauh.

POSISI menunggang santai.
POSISI menunggang santai.

Kedudukan lampu hadapan halogen yang tinggi bertujuan untuk pencahayaan lebih luas ketika mengharungi laluan lasak menawarkan kelebihan tunggangan.

Melihat pada panel meter Himalayan, ia adalah gabungan digital dan analog dengan sistem kompas tersedia bagi memudahkan carian peta terutama ketika di lokasi yang tiada capaian Internet.

Ini adalah antara ciri istimewa penjelajahan direka untuk model ini.

PANEL meter analog dan digital.
PANEL meter analog dan digital.

Cermin penyisih angin, besi pelindung kerangka dan tempat meletak beg sisi dan belakang yang tersedia pada model ini membolehkan aksesori tambahan dipasang terutama bagi tujuan pengembaraan jarak jauh.

Lampu belakang LED adalah cerah untuk sebarang cuaca digabungkan dengan lampu membelok konvensional.

BAHAGIAN lampu belakang jelas.
BAHAGIAN lampu belakang jelas.

Penahan lumpur tinggi dan rendah, logo ukiran Himalayan pada sisi, pelindung fork, roda jejari, eksoz kedudukan tinggi dan pelindung enjin adalah ciri off-road yang menjadikannya tampak lasak.

Nadi utama Himalayan ialah enjin silinder tunggal LS410 dengan kuasa 411cc sejukan udara, suntikan bahan api SOHC yang menyalurkan kuasa bersesuaian bagi memenuhi gaya menunggang dan permukaan jalan.

ENJIN 411cc sejukan udara.
ENJIN 411cc sejukan udara.

Enjin empat lejang itu menawarkan kuasa 24.5 hp pada 6,500 rpm dan daya tujahan 32 Nm pada 4,250 rpm dengan kotak gear lima kelajuan Constant Mesh klac basah plat pelbagai bagi kelancaran berterusan.

Memecut di lebuh raya membolehkan jentera ini mencecah kelajuan sehingga 140 kilometer sejam (km/j), namun Himalayan lebih selesa untuk tunggangan santai sesuai dengan konsep ‘adventure’ dimilikinya.

Melalui jalan lasak adalah karakter sebenar jentera ini dengan suspensi hadapan teleskopik 200mm travel dan Monoshock dengan linkage 180mm pada travel roda memudahkannya melepasi laluan mencabar dengan lancar serta selesa.

BREK cakera hadapan dan belakang.
BREK cakera hadapan dan belakang.

Mengawalnya juga boleh dilakukan dengan baik apabila berat jentera sekitar 194 kilogram (kg) adalah kapasiti ideal untuk melepasi laluan sungai atau berbatu dengan kaki mudah mencapai tanah bagi kestabilan motosikal.

Tangki bahan api 15 liter membolehkannya bergerak sehingga 400km yang menawarkan penggunaan bahan api efisien, salah satu kelebihan untuk jentera silinder tunggal.

Paling menarik adalah limpahan daya tujahan ditawarkan menjadikan ia bertindak tangkas dan responsif sama ada ketika memintas kenderaan atau melepasi halangan lasak.

TANGKI bahan api 15 liter.
TANGKI bahan api 15 liter.

Secara keseluruhan, Royal-Enfield Himalayan adalah model lasak sesuai buat mereka yang gemar menerokai laluan off-road dan belukar.

Pelana selesa sama ada untuk penumpang atau pembonceng sesuai untuk perjalanan jarak jauh dengan posisi menunggang menegak memudahkan kawalan terhadap motosikal.

Enjin ringan dan responsif menjadikan ia mudah dikendalikan serta menawarkan penggunaan bahan api efisien serta faktor penyelenggaraan lebih jimat dengan enjin bersilinder tunggal pada setiap 10,000km dengan satu pertukaran minyak enjin.

SESUAI untuk tunggangan harian.
SESUAI untuk tunggangan harian.

Untuk pasaran tempatan, dua warna ditawarkan iaitu Himalayan Granite dan Himalayan Snow yang dijual pada harga RM39,259 (tanpa insurans) dengan waranti pengeluar dua tahun atau 20,000km, yang mana lebih dulu.

ROYAL ENFIELD HIMALAYAN

• ENJIN: 411cc silinder tunggal SOHC

• KUASA MAKSIMUM: 24.5 hp @ 6,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 32Nm @ 4,000-4,500 rpm

• KAPASITI PETROL: 15 liter

• CIRI KESELAMATAN: Brek cakera hadapan dan belakang

• HARGA: RM39,259(tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:01 AM