HIMALAYAN gaya lasak.
HIMALAYAN gaya lasak.
Lizam Ridzuan

Disasarkan buat mereka yang mahukan jentera serba boleh, Royal Enfield Himalayan kini sudah berada di pasaran tempatan selepas pelancarannya, minggu lalu.

Dikuasakan enjin baru LS 410 silinder tunggal bersesaran 411cc SOHC, jentera ini mampu menjana 24.5hp pada 6,500 rpm dan daya kilas 32Nm pada 4,000 rpm hingga 4,500 rpm.

Dibina pada kerangka tahan lasak hasil sentuhan rekaan Harris Performance, ia kukuh dan tangkas dengan suspensi belakang penyerap hentakan tunggal untuk kelancaran perjalanan.

Rekaan moden dan penggunaan material enjin sesuai membolehkannya mendapat tahap bahan api efisien dengan setangki penuh 15 liter petrol mampu menjangkau perjalanan 450 kilometer (km).

 ENJIN 411cc silinder tunggal SOHC.
ENJIN 411cc silinder tunggal SOHC.

Pengurus Besar RE Motorcycles Sdn Bhd, Muhammad Syahrul Abdullah berkata, motosikal itu adalah model saiz pertengahan diimport sepenuhnya (CBU) dari India dan boleh digunakan untuk tujuan santai hujung minggu atau tunggangan harian.

“Posisi menunggang selesa, rekaan unik dan hasil kejuruteraan selama lebih 60 tahun Royal Enfield menjadikan Himalayan motosikal versatil untuk perjalanan jauh atau dalam bandar,” katanya.

Sesuai dengan konsepnya sebagai motosikal jelajah dan kembara, Himalayan turut dipasang dengan tapak pemasangan kotak beg serta ‘Jerry can’ yang dijual sebagai pilihan pada harga bermula RM300 sehingga RM2,000.

‘JERRY can’ boleh dibeli sebagai aksesori.
‘JERRY can’ boleh dibeli sebagai aksesori.

Kluster meter ringkas LCD terdiri daripada gabungan digital dan analog memaparkan kelajuan, kompas digital, suhu persekitaran, masa dan jarak perjalanan serta tempoh servis.

Rekaan ergonomik selari pada tempat letak kaki, bar pemegang dan ketinggian tempat duduk 800 milimeter (mm) sesuai untuk saiz penunggang Asia bagi kendalian lebih mudah, selain capaian kaki ke tanah.

Jarak kelegaan bumi 220mm membolehkan Himalayan mengharungi pelbagai permukaan jalan dan turut dipasangkan tayar dual-purpose bersaiz 17 inci (belakang) dan 21 inci (hadapan) untuk lebih cengkaman dan prestasi.

TAYAR dual-purpose untuk pelbagai permukaan jalan.
TAYAR dual-purpose untuk pelbagai permukaan jalan.

Selain itu, Himalayan dilengkapi brek cakera 300mm hadapan dan 240mm belakang untuk daya pemberhentian terbaik terutama ketika dalam bandar.

Untuk pilihan, dua warna ditawarkan iaitu Himalayan Granite dan Himalayan Snow, dijual pada harga RM36,880 (tanpa insurans dan GST) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km, yang mana lebih dahulu.

TANGKI bahan api 15 liter.
TANGKI bahan api 15 liter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 9:34 AM