Mohd Razlan Salleh

Seperti dijangka, pelumba drift negara Tengku Djan Ley membuktikan kehebatannya menguasai perlumbaan Vios Challenge yang berlangsung sempena Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, minggu lalu.

Festival TGR yang julung kali diadakan itu mendapat perhatian ramai apabila lebih 20,000 pengunjung membanjiri pekarangan stadium untuk menyertai pelbagai acara yang diadakan termasuk kehadiran selebriti tempatan.

Tidak terkecuali, penampilan eksklusif model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) kompak terbaru Toyota, C-HR yang menggamit perhatian selain aksi drift daripada juara Drift D1 serta juara Drift Muscle Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino yang membuat penampilan khas.

Untuk makluman, Kawabata adalah pemegang Rekod Dunia Guinness bagi pemandu drift paling laju dengan catatan 304.96 km/j.

Berbalik pada festival selama dua hari itu, pelbagai aksi mencabar berlangsung antaranya penampilan artis popular tempatan termasuk Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Janna Nick, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee yang berentap sesama sendiri dalam kategori promosi Vios Challenge.

Perlumbaan julung kali Vios Challenge membabitkan 40 buah Toyota Vios lengkap dengan spesifikasi lumba dan setiap perlumbaan mengambil masa 25 minit.

Selain promosi, Vios Challenge dibahagikan kepada dua lagi kategori lain iaitu Sporting dan Super Sporting. Kategori Sporting disertai 18 pemandu termasuk mereka yang menamatkan pembelajaran di Vios Challenge Racing School.

Seterusnya kategori Super Sporting membabitkan penyertaan pemandu ternama tanah air seperti Boy Wong, Kenny Lee, James Veerapan, Syafiq Ali, Mark Darwin, Mitchel Cheah, Rocky Seow, Akina Teo selain Tengku Djan Ley.

Bagi kategori promosi, Shawn Lee membuktikan kehebatannya apabila menjuarai perlumbaan sulung itu, diikuti Shukri Yahaya dan Danny Khoo.

Mengikuti di belakang Danny adalah Venice Min, Janna Nick, Akio Takeyama (Toyota), Masaaki Murata (Toyota) dan Geraldine Gan manakala Fattah Amin serta Diana Danielle gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan sesama sendiri.

Dalam kategori Super Sporting pula, Tengku Djan jauh meninggalkan pemenang kedua, Mark Darwin dan ketiga, Syafiq Ali. Kategori Sporting dikuasai Ken Foo, diikuti Kenneth Koh dan Brendon Lim di tempat ketiga.

Pelbagai aktiviti lain turut menggamit pengunjung termasuk persembahan tarian, sorakan, artis berkumpulan, permainan santai serta penampilan jemputan khas daripada Media Prima Bhd yang membawa bas jelajah Drama Sangat bersama selebriti.

Selepas Pulau Pinang, pusingan kedua Karnival TGR akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) Selangor pada 25 dan 26 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 12:00 AM