YAMAHA LC135 tema The Bos Gaurus.
YAMAHA LC135 tema The Bos Gaurus.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Setiap peminat bola sepak pasti ada cara tersendiri menunjukkan bukti semangat cintakan pasukan. Bagi fanatik pasukan bola sepak Perak, Mohd Firdaus Abdul Samad, 28, lambang dan tema The Bos Gaurus diabadikan pada keseluruhan motosikal miliknya yang diubah suai dengan pelbagai aksesori tambahan hingga menelan kos lebih RM5,000.

Motosikal jenis Yamaha LC135 miliknya ternyata berbeza apabila warna kuning, putih dan hitam berserta imej seladang selaku maskot The Bos Gaurus memenuhi segenap ruang motosikalnya. Lebih menarik tema itu diolah secara semburan angin yang menelan kos sekitar RM600.

Melihat lebih dekat jentera ini, pelbagai komponen dan aksesori tambahan dipadankan antaranya pemijak kaki khas (footrest) Yamaha, pendikit minyak serta brek cakera daripada Racing Boy.

Selain itu, pelbagai aksesori lain seperti meter RPM dan Volt Koso serta pelaras turut dipasang bersama pada jentera, sekali gus mengubah bentuk dan gaya jentera ini.

Paling unik, jentera ini menggunakan lengan tunggal (single arm) dan sistem audio menggunakan pengecaj USB. Bahagian ekor jentera ditanggalkan sepenuhnya dan digantikan dengan pemasangan lampu binaan khas.

Beralih pada keupayaan jentera, masih mengekalkan enjin asal bersesaran 135cc dengan kaburator UMA Racing. Sistem kuasa sedikit dipertingkatkan dengan pemasangan ekzos SPI.

Jentera yang kerap mencuri tumpuan dalam pameran motosikal ini sudah meraih lebih 30 kemenangan sama ada tempat pertama hingga kelima. Malah dua kejuaraan terbesar dikecapi tahun ini termasuklah Best Of Airbrush dan Best Of Extreme di Ipoh, Perak.

SPESIFIKASI:

Yamaha LC135 tahun 1999

Enjin asal: 135cc

Kaburator: UMA Racing

Ekzos: SPI High Performance

Airbrush: Tema Perak The Bos Gaurus

Brek cakera: Racing Boy

Pendikit Minyak: Racing Boy

Footrest: Racing Yamaha

Meter: RPM Koso

Meter: Volt Koso

Single Arm: Demark

Lampu Belakang: Binaan khas

Kos Modifikasi: RM5,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:39 AM