TAMPIL seperti jentera kegunaan litar cub prix.
TAMPIL seperti jentera kegunaan litar cub prix.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Menyentuh mengenai jentera modifikasi khususnya motosikal, Yamaha LC 135 antara kapcai paling banyak diubah suai pemiliknya.

Proses modifikasi bukan sahaja untuk kelajuan malah termasuk penampilannya untuk dijadikan sebuah jentera autoshow.

Ruangan Modifikasi kali ini membawa sebuah jentera unik dan menarik serta penampilan diubah suai menjadikannya tampak seolah-olah jentera perlumbaan cub prix.

Yamaha LC varian 2 (LCV2) binaan 2012 milik pekerja kedai aksesori motosikal di Ipoh, Hon Pan Lee Mun Hon, 35, ternyata memukau umum dengan pelbagai aksesori perlumbaan berjenama malah reka bentuknya sangat unik.

Menggunakan bahagian hadapan daripada Yamaha Ego LC serta sepasang lampu dada binaan khas diimport dari Indonesia menjadikan hadapan jentera ini tampil berbeza.

Penggunaan mudguard Yamaha 15ZR dengan padanan pelindung sisi daripada Honda Dash menjadikan jentera tampak lebih mantap.

Masih menggunakan set badan asal, namun sedikit penambahan coverset binaan khas berasaskan Yamaha R6 pada bahagian belakang serta ekor belakang (mudguard) jentera ditanggalkan menjadikan ia lebih lebar dan menarik.

Motosikal ini tampil lebih unik apabila dilengkapi lampu Yamaha R6 pada ekor belakang jentera serta pemasangan pelindung binaan khas pada bahagian bawah enjin.

Bahagian tempat duduk binaan khas yang juga diinspirasikan Yamaha R6 turut menjadi tarikan, namun antara komponen dan aksesori tambahan yang paling mencuri tumpuan adalah lengan tunggal (single arm) daripada Honda NSR yang dipasang pada bahagian belakang sebelah kiri.

Tidak dapat dipastikan fungsi sebenar penggunaan lengan itu, namun komponen itu yang didatangkan bersama rim asal Honda NSR pada bahagian belakang sentiasa menjadi perhatian umum setiap kali dipamerkan.

Biarpun seperti untuk kegunaan litar, namun pemiliknya tidak mengusik bahagian dalaman enjin sebaliknya hanya menukarkan karburator Uma Racing bagi kawalan kestabilan enjin.

Selain itu, kadar haba enjin dikawal sepasang alat binaan khas yang tampak seperti ekzos utama, namun sebaliknya ia bertindak untuk menyalurkan haba dalaman enjin terus ke belakang.

Penggunaan ekzos Racing Link yang turut dibawa dari Indonesia menampilkan bunyi garang, namun dalam masa sama berfungsi memberikan kuasa kepada jentera.

Kestabilan jentera dikawal penyerap hentak asal bahagian hadapan dan disokong monoshock Yamaha 15ZR pada bahagian belakang.

Pelbagai aksesori lain daripada jenama Racing Boy dipasang untuk menyerlahkan lagi keterampilan jentera seperti brek, pendikit minyak, footrest, perumah enjin dan sebagainya.

Proses modifikasi yang menelan kos RM8,000 ternyata berbaloi apabila jentera ini kerap mengungĀ­guli kategori motosikal ubah suai bawah 250cc.

SPESIFIKASI:

Yamaha LC135 V2 tahun 2012

- Enjin asal 135cc

- Kepala Yamaha Ego LC

- Lampu dada binaan khas

- Lampu Belakang Yamaha R6

- Mudguard Yamaha 15ZR padanan cover Honda Dash

- Monoshock Yamaha 15ZR

- Single Arm Honda NSR

- Rim belakang Honda NSR

- Tempat duduk Yamaha R6

- Coverset belakang Yamaha R6

- Kaburator UMA Racing

- Pelaras haba aksesori

- Pendikit minyak Racing Boy

- Brek Cakera Racing Boy

- Brek Racing Boy

- Perumah Enjin Racing Boy

- Footrest Racing Boy

KOS MODIFIKASI: RM 8,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:01 AM