HONDA C65 memukau dengan tema kayu.
HONDA C65 memukau dengan tema kayu.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Usaha pemilik bengkel mengenakan cat pemati (clear spray) kepada kertas pelekat tema kayu yang membaluti komponen motosikal jenis Honda C65 membuahkan hasil memukau.

Lebih menarik apabila ia tampak bagai motosikal kayu sehingga memaku pandangan sesiapa yang melihatnya.

Pemiliknya, Hazaruddin Hamzah, 46, berkata motosikal buatan 1976 ini adalah warisan keluarga sebelum dibaik pulih dengan kos lebih RM6,000, sebahagian besarnya diguna bagi mengganti komponen asal dengan yang baru, yang kebanyakannya sukar diperoleh dan mahal.

Malah, ada beberapa bahagian terpaksa dipesan dari Indonesia dan Thailand.

Namun, tidak semua komponen berjaya ditemui sehingga memaksa pemilik menggabungkan beberapa komponen motosikal lain bagi menjelmakan semula jentera klasik ini.

Bahagian yang paling unik adalah enjin apabila menggunakan nadi EX-5 manakala komponen dalamannya adalah daripada model Fame sementara kaburator daripada Honda Wave.

Rupa luaran seperti asal dengan reka bentuk kerangka menampakkan gaya klasik jentera. Lebih memikat apabila rupa jentera kelihatan seperti diperbuat daripada kayu, namun sebenarnya adalah pelekat hiasan yang kebiasaannya dilekap pada dinding atau lantai.

Namun, idea pemilik untuk mencuba pada motosikal ini ternyata membuahkan hasil yang sangat unik dan menawan.

Penggunaan rim aloi Racing Boy 17 inci dengan lingkaran putih pada kedua-dua tayar menaikkan lagi imej klasik.

Bahagian tempat duduk tunggal dengan beg sandang binaan khas turut mencuri tumpuan manakala pada lengkuk palang hendal, terselit meter tambahan menggantikan meter asal yang tidak lagi berfungsi.

Komponen seperti penyerap hentak hadapan dan belakang masih berfungsi cemerlang walaupun dimamah usia, namun diperkemaskan dengan pelekat rekaan khas yang lebih menarik.

Antara komponen jentera diimport dari Indonesia adalah ekzos asal manakala selebihnya seperti perumah enjin, jata, penghadang lumpur dan sebagainya dibawa khas dari Thailand.

Sebagai kelainan jentera ini, beberapa komponen basikal ‘dikacuk’ seperti lampu kecil di bahagian belakang dan pemijak kaki.

SPESIFIKASI:

Honda C65 1976

Enjin: EX-5 dan Fame

Kaburator: Honda Wave

Meter: Tempahan khas

Tempat duduk: Pelana tunggal binaan khas

Beg: Binaan khas

Rim: Racing Boy 17 inci

Tema badan: Pelekat corak kayu

Aksesori: Lampu basikal dan pemijak kaki

Kos: RM6,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:43 AM