Suraya Roslan


Sepang: Pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 April lalu.

Bagaimanapun, Hafizul Hawari, 38, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.

"Faham, tidak (mengaku tidak bersalah)," katanya bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa tujuh anak itu didakwa melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md Isa, 38.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan senjata iaitu pistol yang boleh menyebabkan kematian.

Mohd Nur Hadith adalah pengawal peribadi isteri tertuduh.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA di sini, pada 1.09 pagi, 14 April lalu.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Semalam, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April lalu.

Dalam insiden 1.20 pagi 14 April lalu, seorang lelaki didakwa melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki yang juga pengawal peribadi kepada wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 9:33 AM