Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Selayang: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah politik, minggu lalu.

Muhammad Sanusi yang memakai kemeja putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

"Faham, tidak (mengaku bersalah) Yang Arif," katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Beliau melakukan kesalahan itu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini, jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Muhammad Sanusi akan dibawa ke Mahkamah Sesyen 1 bagi menghadapi pertuduhan kedua di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 9:42 AM
Muhammad Sanusi (berbaju putih) hadir di Mahkamah Selayang atas tuduhan berkaitan Akta Hasutan. FOTO Aswadi Alias.
Muhammad Sanusi (berbaju putih) hadir di Mahkamah Selayang atas tuduhan berkaitan Akta Hasutan. FOTO Aswadi Alias.