GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengelar tangan anak tirinya dan memaksa minum air kencing di sebuah flat, bulan lalu.

Bagaimanapun, pemandu peribadi itu, R Segaran, 38, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memaksa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun satu bulan meminum air kencing melalui botol dan mengelar tangan anak tiri lelakinya berusia 14 tahun satu bulan masing-masing pada 5 pagi, 15 Disember dan 7 pagi, 16 Disember lalu di sebuah flat di Jalan Kenanga, Dang Wangi.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman tidak menawarkan jaminan kerana bimbang dengan keselamatan dua beradik berkenaan sekiranya tertuduh dilepaskan dengan jaminan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Izralizam bagaimanapun tidak meletakkan sebarang jaminan sebaliknya mahkamah meminta tertuduh mencari penjamin terlebih dulu.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 5:42 PM