Georgie Joseph


Sudah merasai pelbagai dimensi berbeza dalam lapangan seni, penyanyi dan pelakon Korea Selatan iaitu Lee Joon seronok melakar pengalaman yang mendewasakan sepanjang kembara seninya.

Lee Joon atau nama sebenarnya Lee Chang-sun, 36, berada pada setiap titik yang tepat dalam perjalanannya. Segala diatur berlaku kepadanya, dia terima dengan nikmat syukur.

Bekas anggota MBLAQ itu berkata, tiada apa pun dia ingin ubah mengenai takdir hidupnya. Hakikat kini, dia cukup selesa dan ingin kekalkan situasi atau perasaan sebegitu dalam dirinya.

"Pada tahap ini, saya sangat berpuas hati dengan hidup saya. Kehidupan saya senang. Kalau misalnya saya dilahirkan semula pun, saya mahu menjalani kehidupan sama seperti sekarang," katanya.

Namun, keselesaan itu tidak diaplikasikannya dalam lapangan kerja. Dia sentiasa memastikan ada peningkatan dalam langkahnya menuju puncak terpuas dalam kerjaya.

"Saya percaya setiap projek adalah sebuah cabaran. Apabila berdepan cabaran, ada baiknya ia diiringi takat tekanan yang selari dan tidak berlebihan. Kena selalu cuba kekalkan badan kita tenang.

"Jika kita mencabar diri setiap hari, tidak kira apa juga hasilnya nanti, semestinya cabaran itu cukup berharga. Saya harap semua kekal kuat dan cabar diri setiap hari," katanya.

Sebelum bersinar di gelanggang lakonan, Lee Joon dikenali sebagai 'idol' yang lincah menyanyi atas pentas. Pada tempoh itu, sorakan peminat lebih terasa apabila bersemuka dengannya secara fizikal.

Berbanding sekarang kelibatnya hanya kerap dapat ditonton di TV, sorakan diterima sudah tidak sama. Apa pun, Lee Joon akui dia tidak rindu pun pada sorakan begitu kerana dia cukup nikmati apa yang ada di depan mata sekarang.

"Jika menjadi pelakon ibarat berlari untuk maraton, menjadi 'idol' pula seperti berlari jarak dekat. 'Idol' hangatkan pentas selama tiga minit, pelakon curah tenaga menerusi lakonan untuk tontonan sejam.

"Belum pernah lagi ada saat di mana saya terdetik teringin menjadi 'idol' semula," katanya.

Lee Joon juga sebenarnya sejenis yang tidak suka terlalu spesifik terhadap pilihan. Dia lebih suka membuka hatinya untuk mencuba dan meneroka setiap penjuru cabaran yang dicampak kepadanya.

"Untuk drama, saya tiada genre khusus yang menjadi pilihan hati kerana segalanya berkisar pengalaman dan cabaran. Saya lebih tertumpu fokus untuk buat yang terbaik terhadap setiap peluang mendatang.

"Sama juga dengan program aneka ragam. Sepanjang kerjaya saya, sudah banyak program begitu yang berbeza konsep saya jayakan. Saya cuma mahu nikmatinya selagi boleh dengan perasaan yang seronok," katanya.

Dalam pada itu, Lee Joon tidak menolak ke tahap mana pun dia berada sekarang adalah disebabkan peminat. Semangatnya sentiasa kental kerana mendapat dorongan berkekalan daripada pengikutnya.

"Hal terpenting sebagai pendorong teratas adalah peminat. Waktu berganti waktu, saya dapat rasakan sokongan mereka (peminat) semakin meresap dalam sekali. Saya sangat bersyukur sentiasa dapatkan sorakan itu," katanya.

MELAKONKAN watak Min Do Hyuk dalam The Escape of the Seven.
MELAKONKAN watak Min Do Hyuk dalam The Escape of the Seven.

Guna suara garau dalam drama terbaharu

Terbaharu, Lee Joon juga tampil membintangi drama terbitan Viu iaitu The Escape of the Seven: Resurrection yang ditayangkan bermula 29 Mac lalu.

Menariknya, banyak sisi berbeza serta cabaran perlu ditempuhinya untuk musim kedua siri The Escape of the Seven itu. Katanya, dia perlu sesuaikan perwatakan diri dengan karakter baharunya itu.

"Memandangkan karakter saya kena melalui perubahan 180 darjah, saya ambil inisiatif untuk pamerkan corak suara garau dan atmosfera lebih matang.

"Ketika penggambaran, saya juga tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Saya sentiasa tertanya-tanya mengenai skripnya dan tidak merujuk cara pembawaan karakter seperti pernah dibuat sebelum ini.

"Saya cuba memahami dan mendalami sesuatu karakter dibawakan itu terlebih dulu. Kemudian membinanya daripada kefahaman yang saya peroleh," katanya.

Melakonkan watak Min Do Hyuk dalam drama terbabit, katanya, dia tidak pun perlu persiapan banyak untuk penggambaran musim kedua berkenaan. Namun, dia tetap adakan inisiatif sendiri demi mantapkan wataknya.

"Sebenarnya, memandangkan intipati watak saya dalam kedua-dua musim adalah sama, saya tidak sediakan sebarang teknik khusus kali ini. Ada kelebihannya juga, ia sebagai format bermusim.

"Tapi, saya ambil usaha untuk mengubah atmosfera kerana Do Hyuk adalah karakter yang sangat peka terhadap segala hal. Dia (Do Hyuk) sentiasa siap untuk melakukan balas dendam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:01 AM