Norhayati Nordin


HAMPIR tiga tahun memahat bakat dalam industri hiburan Indonesia, nama Tiara Andini, 22, yang juga bekas peserta Indonesian Idol 2020, kini semakin mekar dalam kalangan peminat tegarnya.

Apatah lagi, selepas kejayaan single solo, Merasa Indah dan filem My Sassy Girl yang dibintanginya bersama pelakon Jefri Nichol tahun lalu, membuatkan Tiara menjadi perhatian ramai.

Mengulasnya, Tiara yang ditemui ketika berkunjung ke Malaysia, berkata, dia menganggap apa yang diperolehnya pada tahun lalu itu sebagai rezeki tidak diduga. Katanya, dia sekadar beranikan diri cuba mengembangkan bakatnya.

"Perjalanan saya masih jauh dalam karier seni dan banyak lagi peluang yang harus saya dapatkan dan mencubanya. Apa-apa pun, saya akan terus berusaha dan bekerja dengan gigih.

"Sama ada nyanyian dan lakonan, kedua-duanya sama penting untuk saya. Jadi, saya ingin pastikan ia bergerak seiring dan berjalan lancar dengan segala peluang yang datang itu diambil. Saya tidak mahu membiarkan begitu saja," katanya.

Berbicara juga pengalaman bekerja dengan Jefri, wanita kelahiran Jawa Timur ini berkata, dia gembira mendapat bantuan dan sokongan positif daripada pemuda itu tanpa menganggapnya kurang pengalaman.

"Pada mulanya, saya gementar juga ketika menjalani penggambaran filem My Sassy Girl itu kerana berganding dengan Jefri, selain ia juga karya

'remake' daripada siri popular Korea Selatan. Saya bimbang kami tiada 'chemistry'.

"Tapi, Jefri ternyata seorang pelakon yang baik dan banyak menolong saya untuk memahami dialog dan karakter sepanjang penggambaran itu. Kami rapat dan alhamdulillah dapat berlakon dengan baik. Malah, tidak sangka gandingan kami berhasil dan disukai penonton," katanya.

Berbicara mengenai 'cinta lokasi' sesama pelakon, Tiara berkata, dia dan Jefri bekerja secara profesional. Jelasnya, mereka hanya

TIARA akui teruja rakam single baharu ciptaan komposer, Hyuk Shin.
TIARA akui teruja rakam single baharu ciptaan komposer, Hyuk Shin.

'bercinta' untuk watak yang dilakonkan itu dan ia tidak terbawa-bawa hingga di luar lokasi.

"Realiti dan lakonan, dua perkara yang berbeza. Jadi, kami hanya menjadi pasangan kekasih untuk watak dilakonkan itu, malah pada kehidupan nyata, ia pilihan masing-masing.

"Walaupun ada peminat yang mahu kami jadi kekasih sebenar, cinta tidak boleh dipaksa. Oleh itu, saya hanya melihatnya sebagai gosip dan membiarkan saja. Tidak perlu melayan dan memikirkannya," katanya.

Ditanya hubungan cintanya yang dikait dengan YouTuber, Alshad Ahmad juga sepupu Raffi Ahmad, katanya dia tidak mahu mengulas soal itu kerana ingin fokus pada urusan karier tanpa membabitkan peribadi kerana menjaga 'privacy'.

"Maaf, kalau cerita peribadi saya tidak mahu komen apa-apa. Ini kerana saya sekarang hanya fokus pada karier saja. Terus terang, saya mahu peminat lebih menyokong karier saya sehingga berjaya," katanya.

TIARA popular dengan lagu Merasa Indah, tahun lalu.
TIARA popular dengan lagu Merasa Indah, tahun lalu.

Rakam lagu komposer Korea

Hadir pada majlis Media Gathering di Universal Music baru-baru ini, Tiara memaklumkan kedatangannya untuk merakamkan lagu baharu hasil ciptaan komposer Korea Selatan, Hyuk Shin yang menetap di negara ini.

"Saya teruja merakamkan single ciptaan Hyuk Shin kerana bergenre rancak dan saya juga sebenarnya adalah peminat lagu K-Pop. Jadi, saya fikir ini adalah peluang terbaik saya.

"Ditambah, apabila Hyuk Shin kata dia sekarang menetap di Malaysia, ia agak dekat dan negara tetangga Indonesia. Oleh itu, saya terus bersetuju dan tidak mahu tunggu lama untuk ke sini," katanya.

Mengakui selesa bekerja dengan komposer itu, Tiara berkata, lagu dihasilkan sangat kena dengan jiwanya yang melodi dan lirik sangat 'catchy'. Jelasnya, dia juga yakin pendengar mudah terima dengan baik.

Tidak hanya itu, Tiara berkata dia juga berbesar hati apabila mendapat peluang mengadakan konsert solo di Malaysia pada Jun depan.

Ujarnya, dia bakal beraksi menghiburkan peminat di Zepp Kuala Lumpur.

"Saya harap konsert ini akan mendapat sambutan ramai. Bahkan, saya akan membuat persediaan sebaik-baiknya dan yakin mampu menghiburkan penonton kerana sudah terbiasa dengan persembahan nyanyian di Indonesia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 6:00 AM