JEE Hon tetap berdepan kerisauan namun berpuas hati apabila dapat memberikan hasil lakonan terbaik.
JEE Hon tetap berdepan kerisauan namun berpuas hati apabila dapat memberikan hasil lakonan terbaik.
Georgie Joseph


SELEPAS berehat tiga tahun daripada berlakon drama, pelakon Lee Je Hoon kembali rancak dengan pelbagai projek. Bahkan, beberapa drama lakonannya mendapat perhatian dan paling dinantikan sekarang.

Je Hoon, 36, sendiri tampak enggan ambil remeh dan memberikan sepenuh tenaga untuk memastikan setiap lakonannya cemerlang. Reputasinya selama ini pun memang sangat membanggakan sepanjang karier lakonannya.

Dia tidak dinafikan antara pelakon yang versatil dan mampu meninggalkan impak dalam setiap watak dimainkan. Memang berbaloilah pujian diberikan kepadanya kerana usaha keras sentiasa terserlah dalam kerjanya.

Terbaharu, membintangi drama berjudul Taxi Driver, Je Hoon yang melakonkan watak utama sebagai Kim Do Gi turut cemerlang. Apabila berkongsi mengenai pembabitannya itu, tidak hairan lakonannya begitu meyakinkan kerana persediaan rapi dibuatnya.

Menurutnya, memandangkan ia adalah drama aksi pertama lakonannya, dia mahu pastikan serba-serbi sudah dipersiapkan termasuk kemahiran bertempur dan stamina. Katanya, dia mahu lakonannya tampak realistik.

"Saya tidak pernah mencuba lagi projek yang fokus utamanya adalah aksi. Disebabkan itu, banyak perkara perlu saya sediakan. Saya kena hadir sekolah aksi, berlatih dengan pasukan pertahanan diri dan menjaga stamina sebaiknya.

"Memandangkan kami perlu menunjukkan babak aksi secara realistik, saya lakukannya bersungguh-sungguh. Banyak babak yang memerlukan saya kena gunakan tangan sendiri sebagai senjata sehingga mengalami kecederaan tanpa disedari," katanya.

Adat pengalaman pertama, pasti hadir pelbagai rasa kekurangan dalam lakonan diberikan. Je Hoon tidak menafikan dia juga berdepan kerisauan sedemikian apalagi benar-benar mahu lakonannya berkualiti.

"Ada masa-masa, saya rasa tertekan sangat dengan kecederaan yang dialami. Namun begitu, saya rasa sangat puas hati dan berbaloi apabila dapat memberikan hasil lakonan yang sangat baik.

"Saya mahu terus memberikan yang terbaik untuk setiap baki babak lain dalam drama ini. Memandangkan aksi adalah nadi kepada Taxi Driver, saya mahu pastikan setiap babak itu hidup," katanya.

Keputusan Je Hoon bersetuju untuk menerima watak terbabit tidak lain kerana Kim Do Gi adalah satu karakter yang unik. Meskipun dia hanyalah pemandu teksi di mata umum, namun banyak rahsia dalaman menarik mengenainya.

Disebabkan itu, dia merasakan karakter itu memberikan kepuasan baharu dalam dirinya yang tidak pernah dialami sebelum ini. Apalagi, mesej yang disampaikan dalam drama itu cukup berkaitan dengan isu kemasyarakatan.

TIDAK ambil remeh persiapan sebelum mulakan penggambaran.
TIDAK ambil remeh persiapan sebelum mulakan penggambaran.

"Karakter saya adalah seorang yang mampu bertukar imej dan aksi perwatakannya bergantung kepada sesuatu senario. Apabila dapat lakonkan transisi karakter sebegitu, semestinya watak terbabit sangat menarik untuk diberi perhatian.

"Kim Do Gi melindungi mangsa kejahatan dan membinasakan semua orang jahat. Dia boleh bezakan, bila dia harus menyalurkan pertolongan baik dan bila perlu menghukum orang yang bersifat zalim.

"Mungkin kalau dalam realiti, darah penonton pasti mendidih sekiranya kejahatan yang ditunjukkan dalam drama itu memang wujud. Namun, watak berkenaan menunjukkan bagaimana ia perlu dilihat dari sudut baik tanpa menganggap dirinya hero," katanya.

Mudah wujud keserasian

Diadaptasi daripada sebuah kartun web, Taxi Driver berkisar perkhidmatan teksi yang dipanggil Rainbow Taxi. Ia bukan perniagaan teksi biasa sebaliknya bertujuan untuk membantu mangsa teraniaya bagi membalas dendam.

Selain Je Hoon, drama itu turut dibintangi Kim Ui Sung, Pyo Ye Jin, Jang Hyuk Jin, dan Bae Yoo Ram. Bukan setakat berjaya mencipta keserasian terbaik, menurutnya, gandingan bersama mereka juga begitu memuaskan.

"Mungkin disebabkan mereka semua adalah pelakon yang mesra, kami tidak henti bergelak tawa sewaktu penggambaran. Suasana di lokasi sentiasa tidak lekang dengan keseronokan dan semua bergembira saja.

"Memang banyak juga babak yang cukup tegang di mana tugas kami akan jadi lebih berat. Bagaimanapun, melihat semuanya masih segar dan bertenaga membuatkan saya sentiasa senang di set.

"Ini adalah gandingan pertama saya dengan semua pelakon lain yang terbabit. Namun begitu, tidak sukar untuk kami terus mendapat keserasian yang bagus memandangkan semuanya memang kenal sesama sendiri," katanya.

Drama Taxi Driver memulakan tayangan episod pertamanya pada 9 April lalu bagi menggantikan slot The Penthouse 2. Sambutan terhadap drama terbabit begitu luar biasa dan tidak ketinggalan disebabkan Je Hoon sebagai pelakon utama.

Selain Taxi Driver, sebuah lagi drama lakonannya berjudul Move To Heaven juga bakal memulakan tayangan pada 14 Mei nanti menerusi platform penstriman video, Netflix. Drama terbabit turut menampilkan pelakon Lee Jae-wook, Hong Seung-Hee dan Tang Joon-Sang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:00 AM