RUMAH baharu yang dibina Mohd Fikri dan abangnya, Mohd Tirmizi untuk ibu mereka, Dayang Sarimah.
RUMAH baharu yang dibina Mohd Fikri dan abangnya, Mohd Tirmizi untuk ibu mereka, Dayang Sarimah.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Bintulu: Pengorbanan ibu tunggal membesarkan empat anak dengan kudrat sendiri sejak suami meninggal dunia mendorong anaknya membina 'mahligai' yang lebih selesa untuk menghargai serta membalas jasa insan tersayang.

Usaha murni itu dilakukan Mohd Fikri Morni, 29, dan abang, Mohd Tirmizi, 34, dengan sokongan dua kakak mereka untuk membina rumah baharu supaya 'syurga' mereka tinggal di rumah lebih selesa selepas kediaman lama semakin usang.

Lebih mengujakan, Aidilfitri tahun ini juga lebih bermakna apabila mereka dapat menyambutnya di rumah baharu apabila berpindah ke kediaman itu sehari sebelum hari raya.

Mohd Fikri berkata, dia dan abang mengumpul sejumlah wang termasuk membuat pinjaman bank bagi merealisasikan hasrat untuk memberikan kediaman lebih selesa buat ibu tersayang, Dayang Sarimah Awang Ibrahim, 63.

Menurutnya, rumah lama dibina bapa yang kini berusia 30 tahun dengan menggunakan binaan kayu semakin usang serta dimamah usia, malah struktur rumah semakin senget kerana masalah tanah yang tidak pernah ditambak sejak sekian lama.

"Ayah meninggal dunia ketika ibu hamilkan saya lapan bulan dan sejak itu ibu yang besarkan kami dengan membanting tulang empat keratnya sebagai pembantu di restoran sebelum diterima kerja sebagai Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

"Bagaimanapun pendapatan ibu tidak besar namun dia tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk kami empat beradik dan mengutamakan keperluan kami berbanding mengubahsuai rumah termasuk menambak tanah," katanya ketika dihubungi.

Dia yang menetap bersama ibunya di Kampung As-Syakirin di sini, berkata, mereka membina rumah lama di atas tapak sama selepas merobohkan rumah lama biarpun mengakui agak sedih kerana rumah lama itu menyimpan banyak kenangan keluarga.

"Idea membina rumah baru daripada saya dan abang serta berbincang adik-beradik sebelum beritahu ibu mengenainya. Pada mulanya ibu terkejut dan tidak mahu menyusahkan kami namun dia gembira dengan perancangan itu.

"Kerja pembinaan bermula Julai lalu dan pembinaannya siap sehari sebelum Aidilfitri. Boleh dikatakan pembinaan rumah mengikut citarasa ibu sepenuhnya terutama permintaannya untuk mempunyai empat bilik dan tandas seperti di hotel.

RUMAH lama Dayang Sarimah yang dibina arwah suaminya.
RUMAH lama Dayang Sarimah yang dibina arwah suaminya.

"Ketika arwah ayah meninggal dunia saya belum lahir dan kakak serta abang juga masih kecil jadi rumah ini hadiah buat syurga kami dan penghargaan untuk ibu yang bersusah payah membesarkan kami seorang diri.

"Melihat ibu gembira dan sebak selepas rumah siap dibina membuatkan kami juga sebak, tetapi berpuas hati kerana berpeluang menggembirakan ibu sementara dia masih ada," katanya memberitahu dia dan abang penjawat awam.

Sementara itu, Dayang Sarimah mengakui dia memang tiada hasrat mengubahsuai rumah sejak dahulu kerana fokus utamanya memastikan empat anak mendapat pendidikan terbaik dan keperluan keluarga mereka sentiasa mencukupi.

"Pemergian suami ketika anak masih kecil sangat mencabar dan ketika itu saya tiada pendapatan tetap, tetapi anak tanggungjawab serta amanah Allah SWT untuk saya jaga dan didik dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:02 AM