SEORANG lelaki membongkar ‘partition’ yang mengandungi rokok.
SEORANG lelaki membongkar ‘partition’ yang mengandungi rokok.
Ahmad Hasbi


Kuala Lumpur: Pemandu lori yang membawa muatan 'partition' (pembahagi) ke Singapura terkejut apabila mendapati barangan dibawa mengandungi rokok seludup untuk pasaran negara jiran itu.

Perkara itu disedarinya ketika selepas membuat pemeriksaan dan meminta seorang lelaki dipercayai individu yang bertanggungjawab memuat naik produk berkenaan ke dalam lori dipandunya.

Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit dua saat itu, pemandu lori berkenaan pada mulanya tidak mengetahui

kenderaannya dimuat dengan rokok yang cuba diseludup masuk sindiket ke Singapura.

Menerusi rakaman berkenaan, dapat dilihat rokok disembunyikan dalam lapan 'partition' yang sudah dimuat

naik ke dalam lori dipandu lelaki terbabit sebelum dia melakukan pemeriksaan dan mendapati mengandungi rokok.

Difahamkan, pemandu lori yang menyedari ia mengandungi rokok seludup, meminta seorang lelaki yang memakai pelitup muka supaya membongkarnya menggunakan pemutar skru.

Di dalam video itu juga dapat didengar dialog pemandu lori yang merakam kejadian memaklumkan dia bernasib baik kerana menyedari barang dibawanya untuk masuk ke Singapura adalah rokok tidak sah.

Pemandu lori mendakwa, lapan 'partition' berkenaan dipenuhi rokok dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa Singapura, dia berkemungkinan akan dikenakan tindakan undang-undang serta tidak dapat bekerja di negara itu lagi.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menerusi laman Facebooknya mendedahkan pelbagai taktik digunakan sindiket untuk menyeludup rokok masuk ke negara itu sama ada menggunakan lori atau treler.

Media di negara itu juga melaporkan hampir setiap bulan terdapat pemandu lori warga Malaysia ditahan di pintu masuk Singapura kerana disyaki cuba membawa masuk rokok yang tidak dibayar cukai.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja

Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya maklum mengenai setiap penahanan kenderaan perdagangan yang masuk ke masuk Singapura.

"Kami mempunyai kerjasama dengan Singapura dan sentiasa berkolaborasi dengan Kastam Singapura. Memang kami menerima maklumat mengenai penahanan itu.

"Kenderaan yang JKDM dapat kesan di Malaysia, kami akan ambil tindakan, namun jika ada yang tidak dapat dikesan dan terlepas ke Singapura, kebiasaannya pihak mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 11:37 PM