Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Wujud trend yang sangat membimbangkan apabila banyak penjejakan identiti alamat Internet Protokol (IP) berdaftar di negara ini didapati melayari laman lucah kanak-kanak.

Individu berkaitan sebenarnya sudah melakukan satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Menerusi Seksyen 4 akta sama, ia mendefinisikan bahawa pornografi sebagai apa-apa gambaran, sama ada dalam bentuk visual, audio atau bertulis atau gabungan bentuk visual, audio atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain mengenai seorang kanak-kanak yang melakukan suatu kelakuan seksual secara terang-terangan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini mendedahkan, lebih 100,000 IP berdaftar di negara ini melayari laman web lucah kanak-kanak.

Menurutnya, terdapat juga laporan bahawa pada 2015, lebih 17,000 IP tempatan dikesan melayari laman web lucah kanak-kanak dan kira-kira 50 peratus kanak-kanak dan remaja berumur 13 hingga 15 tahun berhubung dengan pelaku jenayah menerusi aplikasi WeChat beberapa tahun yang lalu.

"Jumlah IP tempatan itu direkodkan bermula 2017 sehingga Ogos lalu, sekali gus memberi gambaran awal bahawa wujud trend tidak sihat.

"Saya juga yakin bahawa angka berkenaan sebenarnya mungkin lebih tinggi kerana rekod berkenaan menunjukkan IP yang berdaftar saja dan wujud kaedah untuk melepasi atau 'bypass' IP sebenar.

"Menggunakan kaedah Rangkaian Peribadi Maya (VPN), sesiapa saja boleh mengakses laman web tanpa perlu mendedahkan IP asal mereka atau 'origin IP' untuk penjejakan," katanya.

Siraj memberi contoh bahawa jika seseorang itu berada di Malaysia namun mahu menutup IP atau 'masking IP', individu berkenaan boleh menghidupkan VPN dengan memilih mana-mana negara yang dirasakan sesuai seperti Amerika Syarikat (AS) dan sebagainya.

Beliau berkata, wujud juga tindakan segelintir pengguna yang mahu menutup jejak mereka dengan menggunakan pelbagai lapis VPN sekali gus keadaan itu sangat menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejaki.

"Jika kita hidupkan VPN di peranti pintar atau komputer riba, itu mungkin sudah biasa, VPN juga boleh dihidupkan kepada penghala (router), pada masa sama peranti pintar yang menggunakan jaringan Internet penghala berkenaan menghidupkan VPN lokasi lain sekali gus terdapat dua lapisan jejak.

"Isu sama yang berlaku terhadap pengguna yang melayari laman web lucah kanak-kanak, saya yakin ramai dalam kalangan pengguna yang sedikit celik teknologi akan menggunakan manfaat VPN sepenuhnya supaya mereka tidak terjejak dengan IP asal," katanya.

Menurutnya, ruang siber ini terlalu luas untuk dikawal pada segenap inci, namun pendedahan serta pendidikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak perlu diteruskan.

Katanya, menerusi kaedah itu mampu untuk meminimumkan risiko apabila semua pihak mengetahui tentang perlakuan yang menjadi kesalahan manakala kanak-kanak tahu tentang hak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 7:30 AM