WARGA Bangladesh mampu raih gaji RM2,000 sebulan berbanding RM800 di negara asal. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
WARGA Bangladesh mampu raih gaji RM2,000 sebulan berbanding RM800 di negara asal. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kajang: Minat, tidak 'glamour' dan tanggapan pendapatan 'ciput' antara penyebab kerjaya tukang jahit tidak menjadi pilihan warga tempatan, sebaliknya dimonopoli oleh warga asing.

Tukang jahit yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 59, berkata dia beranggapan golongan muda hanya mahu melakukan kerja mudah sehingga menyebabkan pekerjaan sebagai tukang jahit tidak mendapat sambutan.

"Golongan muda tempatan tidak mahu untuk belajar menjadi tukang jahit. Dia hanya mahu kerja yang senang.

"Disebabkan itu, rakyat tempatan tak nak masuk bidang ini menyebabkan ia kini dimonopoli oleh warga asing seperti Bangladesh," katanya.

Mohamad yang mula menjahit sejak usia 20 tahun berkata, faktor lain ialah disebabkan ia berkemungkinan tidak 'glamour' seperti pekerjaan lain.

Selain itu katanya, berkemungkinan warga tempatan tidak menceburi bidang jahitan pada masa kini disebabkan tidak mengetahui ia juga boleh memberi pendapatan lumayan.

"Sebenarnya kerja sebagai tukang jahit ini memang boleh 'pergi' dan untung. Harga upah jahitan sekarang bukan macam dulu.

"Kalau mana-mana yang pandai dan buat 'nama', bolehlah dapat upah mahal. Sebagai contoh macam tempah baju Melayu sekarang mahal. Padahal, hanya 'nama' sahaja, tapi mereka caj mahal," katanya.

Dia yang belajar menjahit daripada ibunya turut menyatakan sekiranya seseorang tukang jahit itu mempunyai 'nama' atau terkenal, dia boleh memperolehi untung tinggi.

"Tukang jahit boleh buat pakej seperti semasa perkahwinan. Pakej baju kahwin untuk lelaki dan wanita boleh cecah sehingga RM10,000 kalau tukang jahit ini mempunyai 'nama'. Orang jual nama sahaja sekarang," katanya.

Selain itu katanya, tukang jahit kini dimonopoli oleh warga asing disebabkan kebanyakan mereka berani untuk mengambil risiko.

"Mereka berani mengambil risiko walaupun sesetengahnya tidak mempunyai pasport dan menyalahgunakan permit kerja," katanya.

Tukang jahit mahu dikenali sebagai Asmida, 35, mengakui perkhidmatan jahitan yang kini dimonopoli oleh warga asing di Lembah Klang menjejaskan pendapatannya.

Menurutnya, jika dahulu setiap hari dia boleh memperoleh sehingga RM400 sehari, tetapi kini hanya memperoleh sekitar RM150 sahaja.

"Kalau saya bersaing dengan warga tempatan lain tak mengapa, tapi ini terpaksa bersaing dengan warga asing.

"Kita pun tak tahu sama ada warga asing ini mempunyai permit atau pasport untuk bekerja sebagai tukang jahit," katanya yang mengusahakan perniagaan di Pekan Sungai Besi.

Berita berkaitan:

Dimonopoli warga Bangladesh!

26,108 lesen dibatalkan sehingga Disember lalu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 12:10 PM