HARIZ Hamdan enggan terpalit kontroversi negatif.
HARIZ Hamdan enggan terpalit kontroversi negatif.
Syafil Syazwan Jefri


Perkembangan kerjaya seni selama tiga tahun pelakon muda, Hariz Hamdan tidaklah terlalu mendadak, namun, tidak juga tenggelam.

Mungkin kerana prinsip yang dipegangnya, iaitu untuk kekal relevan berbanding mengejar populariti, menjadikan namanya bersih dan pada masa sama, meningkat naik secara organik.

Hariz, 22, atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan berkongsi bagaimana dia ingin terus berpegang dengan prinsip itu dan pada masa sama, menjaga nama baik ibu bapanya.

"Tiga tahun tempoh kerjaya seni saya berlangsung, saya rasa sangat bersyukur kerana tawaran lakonan itu sentiasa ada. Saya bukanlah mengejar populariti.

"Sejak hari pertama melangkah ke dalam industri, saya tetapkan hati saya supaya tidak mengejar populariti, sebaliknya berusaha untuk kekal relevan. Jadi, untuk kekal relevan, saya perlu bekerja keras," katanya.

Memulakan langkah bersama beberapa rakan seperjuangan seperti Nadhir Nasar dan Meerqeen, Hariz sentiasa meletakkan ibu bapa sebagai keutamaannya.

"Setiap perkara yang saya lakukan, saya akan ingat kedua-dua ibu bapa saya. Itu keutamaan saya. Sama juga dalam kerjaya sebagai pelakon ini. Saya mencari rezeki halal untuk dikongsikan dengan ibu bapa saya," katanya.

Menjunjung prinsip itu juga menjadikan Hariz pelakon yang berhati-hati agar tidak kecundang dalam kontroversi negatif.

"Saya rasa, saya tak perlukan kontroversi yang terlalu panas. Kalau sikit-sikit, tak mengapa. Bukanlah saya cakap, kontroversi itu adalah satu perkara negatif sepenuhnya sebab ada juga kontroversi yang memberi impak positif.

"Contohnya, kalau berlaku kontroversi di mana, saya ditampar oleh pengarah di set penggambaran, kerana lakonan saya yang teruk. Itu adalah kontroversi yang bagus kerana dapat membina diri saya sebagai pelakon," katanya.

Berkongsi mengenai kontroversi, Hariz juga pernah 'dilamar' oleh seorang individu yang hanya digelar sebagai 'aktor', untuk melakukan gimik percintaan.

HARIZ Hamdan syukur nama kekal mekar dalam dunia seni selain meningkat secara ‘organik'.
HARIZ Hamdan syukur nama kekal mekar dalam dunia seni selain meningkat secara ‘organik'.

"Ada juga individu yang pernah menawarkan saya untuk cipta kontroversi bersamanya contohnya, bersama dan bercinta selama beberapa hari. Bagi saya, saya tak boleh terima perkara begitu.

"Kalau nak 'cipta' percintaan untuk mempromosikan drama atau filem lakonan saya, itu tak ada masalah. Tapi, kalau ia percintaan yang tak ada kena mengena dengan saya dan 'aktor' itu, dah kenapa kan?" katanya.

Terbaharu, filem pertama lakonannya berjudul Banglo Seksyen 12 kini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.

"Ini adalah filem pertama lakonan saya, tetapi filem kedua yang ditayangkan. Alhamdulillah, saya bersyukur dan berpuas hati dengan hasilnya.

"Saya nak sangat tonton, hasilnya selepas tiga tahun dan saya juga dapat melihat, bagaimana saya berkembang selama tempoh itu. Saya harap, semua orang yang menonton filem ini juga akan dapat merasakan apa yang saya rasa," katanya.

Berkongsi pengalaman berlakon buat pertama kali di bawah arahan pengarah, Intan Ladyana dan Dharma

Nasution, Hariz berkongsi rasa terharu kerana sokongan yang diterimanya daripada kedua-dua mereka.

KERJA keras bawa hasil.
KERJA keras bawa hasil.

"Kak Intan adalah seorang individu hebat. Sebagai pendatang baharu yang tidak pernah berlakon langsung, saya banyak merujuk kepada Kak Intan memandangkan dia adalah pelakon senior.

"Satu cabaran kepada saya kerana saya nak pastikan lakonan saya itu tak nampak 'kayu'. Jadi, selain Kak Intan, saya banyak merujuk kepada Abang Dharma juga selaku pengarah bersama," katanya.

Enggan melangkah masuk ke set dalam keadaan 'kosong' tanpa ilmu, Hariz juga mengambil inisiatif sendiri dengan menyertai kelas lakonan bersama pelakon dan guru lakonan, Ellie Suriaty.

"Satu lagi inisiatif yang saya ambil adalah, meminta tunjuk ajar daripada guru lakonan saya, Kak Ellie Suriaty. Set penggambaran kami di Kuala Kubu Bharu (KKB), manakala, tempat tinggal Kak Ellie pula di kawasan Ampang.

"Jadi, saya memandu dari KKB ke Ampang dan belajar dari pagi sampai ke petang. Sebelum malam, saya memandu semula ke KKB untuk kembali berlakon.

"Pada saya, menimba ilmu itu sangat penting sebab saya tak boleh masuk ke set penggambaran dengan keadaan 'kosong'.

"Kebanyakan inisiatif itu saya ambil apabila saya perlu melakonkan babak-babak berat. Kalau saya tak sempat untuk berjumpa Kak Ellie pun, saya akan berhubung menerusi panggilan telefon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:40 AM