INTAN Ladyana.
INTAN Ladyana.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Intan Ladyana, 38, kini mengorak langkah pertama duduk di kerusi pengarah untuk filem Banglo Seksyen 12 terbitan syarikatnya, Prisma Pictures Sdn Bhd.

Intan yang menubuhkan syarikat produksi itu sejak 2018 mencuba nasib menerbitkan filem selepas mendapat Dana Skim Produksi menerusi program dana inkubator daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM500,000.

Intan ketika ditemui berkata, selama 18 tahun aktif berlakon, sekarang adalah masanya untuk dia beralih arah menggalas tanggungjawab baharu sebagai penerbit dan pengarah. 

"Saya sudah cukup bersedia dengan pengalaman yang ada. Malah, untuk mengarah filem ini, saya tidak berseorangan kerana mendapat bantuan daripada rakan berpengalaman iaitu Dharma Nasution selaku pengarah bersama.

"Malah, pengarah berkaliber, Aziz M Osman juga bertindak sebagai 'supervisor' kami. Harapan saya, semoga pengambaran filem Banglo Seksyen 12 yang bermula hari ini hingga 16 Januari ini berjalan lancar," katanya.

Menurut Intan, sebenarnya penggambaran filem itu sepatutnya dimulakan tahun lalu, tetapi disebabkan penularan Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan.

Ditanya mengapa genre seram menjadi pilihannya, Intan berkata, sepanjang berlakon filem sebelum ini, dia banyak mendapat peluang membintangi karya seram dan berunsur mistik.

"Banglo Seksyen 12 tulisan Hasrudi Jawawi ini menjadi pilihan kerana kisah ini wujud dan orang Shah Alam memang tahu mengenainya.Bagi saya, naskhah novel ini tepat difilemkan. Malah, saya mengambil kira-kira 50 peratus daripada pengkisahannya untuk menjadi inspirasi dan bukannya kami adaptasi kepada filem," katanya.

Menurut Intan, dia tekad akan memastikan projek filem ini dapat dihasilkan sebaik mungkin.

Katanya, dia juga yakin filem seram mempunyai daya tarikan tersendiri daripada penonton.

Selain Intan yang turut berlakon filem itu, ia turut menampilkan lakonan Mustaqim Bahadon, Faez Malek, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Hariz Hamdan, Farah Shah dan Windz Neom.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 4:47 PM