ANTARA kereta mewah yang disita. FOTO ihsan SPRM
ANTARA kereta mewah yang disita. FOTO ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Beberapa lagi individu yang terbabit melakukan penipuan dalam percukaian kereta mewah di Langkawi sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan akan dihadapan ke Mahkamah Sesyen bulan depan.

Menurut sumber, akan ada lagi pertuduhan dibuat, awal bulan Februari ini terhadap orang kena tuduh (OKT) selain yang pernah dituduh baru-baru ini.

"Setakat ini juga belum ada pendakwaan dilakukan terhadap mana-mana ahli perniaagan dalam penjualan kereta berkaitan kes ini.

"Fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di peringkat awal Ops Eagle adalah berkaitan 20 buah kereta mewah dari 102 kereta yang mempunyai isu terkurang kutip duti kastam melebihi RM1 juta sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sumber berkata, sebanyak sembilan buah kereta mewah disita membabitkan jenis Ferrari, Lamborghini, Porsche, Bentley dan McLaren.

"Kesemua kereta ini juga dilepaskan dengan bon jaminan pada Julai tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan akan ada lagi pendakwaan selepas ini namun enggan mengulas lanjut.

Muka depan Harian Metro 21 November lalu melaporkan sebanyak 100 kenderaan mewah termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi, Kedah 'diburu' SPRM.

Kenderaan itu sedang dicari dalam operasi khas SPRM yang dijalankan selepas pemiliknya dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Menurut sumber, siasatan pihaknya mendapati ada 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.

"Kenderaan ini ada yang dibeli pada 2015 lagi dan mendapati ada yang sudah bertukar pemilik asalnya hingga ke pemilik ketiga," katanya.

Susulan itu, pada 15 Januari lalu, tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi melakukan penipuan dalam percukaian kereta mewah di Langkawi sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 3:48 PM