ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Saifullizan Tamadi
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Saifullizan Tamadi
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung siasatan penggunaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Difahamkan, Ahli Parlimen Bera diambil keterangan di sekitar ibu negara kira-kira 10 pagi ini.

BH cuba menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun panggilan tidak dijawab setakat ini.

Sementara itu, BH difahamkan, SPRM juga sudah merakam keterangan beberapa individu termasuk pembantu peribadi kepada Ismail Sabri.

Siasatan berkenaan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Akta SPRM 2009.

Semalam, Azam mengesahkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri untuk memberi keterangan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau berkata, turut akan dipanggil, pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.

"Tidak kurang daripada empat orang akan dipanggil (memberikan keterangan) dan salah seorang dari dua bekas Perdana Menteri dipanggil memberikan keterangan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Susulan itu SPRM mengesahkan pihaknya sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

SPRM juga sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebahagian proses siasatan.

Siasatan itu dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 2:32 PM