Ibu Pejabat SPRM. FOTO Asyraf Hamzah
Ibu Pejabat SPRM. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Menurut sumber, pihak berkuasa terbabit sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk proses siasatan dan mengumpul maklumat serta mendapatkan dokumen.

"SPRM sudah memulakan siasatan awal berhubung isu penggunaan wang RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

"Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran pada November lalu.

"Prabakaran meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan membelanjakan RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan sepanjang tempoh dua tahun.

Perbelanjaan berkenaan digunakan oleh dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut membuat hantaran di aplikasi X bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta dibelanjakan.

Mengulas lanjut, sumber berkata, SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan itu.

"Siasatan awal masih berjalan dan ia menjurus kepada bagaimana wang itu dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan namun enggan mengulas lanjut.

Pada Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan, polis menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, pihaknya akan membuat siasatan termasuk menghubungi pihak Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:57 PM