SPRM
SPRM
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia untuk meneliti bagaimana kelulusan serta dan dikeluarkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Menurut sumber, SPRM juga sedang mengumpul keterangan yang dapat membantu siasatan bagaimana dana itu diluluskan dan dibelanja.

"Setakat ini, SPRM mendapati terdapat tiga identiti terbabit bagi menyalurkan dana program Keluarga Malaysia iaitu Laksana, Sepadu dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

"Dalam siasatan ini, isu yang disiasat SPRM adalah untuk menentukan berapa jumlah sebenar diluluskan dan siasatan awal setakat ini ia membabitkan dana sebanyak RM300 juta sahaja bukan RM700 juta," katanya kepada Harian Metro.

Sumber berkata, fokus SPRM ketika ini membabitkan program Keluarga Malaysia di mana isu paling penting untuk melihat bagaimana wang itu dibelanjakan.

"Siasatan juga ingin melihat adakah syarikat menerima projek itu adalah monopoli atau tidak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan sedang dijalankan namun enggan mengulas lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Menurut sumber, pihak berkuasa terbabit sudah ke MOF dan JPM untuk proses siasatan dan mengumpul maklumat serta mendapatkan dokumen.

"SPRM sudah memulakan siasatan awal berhubung isu penggunaan wang RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

"Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran pada November lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 1:43 PM