Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Menjisimkan Allah SWT dengan menyamakan rupa bentuk mirip manusia, gemar membidaahkan amalan orang lain serta melabelkan akidah majoriti umat Islam sebagai sesat.

Itu ajaran seorang lelaki berasal dari Syria yang juga pemegang taraf penduduk tetap (PR) negara ini menyebarkan akidah songsang menerusi media sosial.

Tindakan lelaki itu sering mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam dan memberi gambaran buruk kepada ilmuwan Islam.

Lelaki itu yang tinggal di Terengganu pernah ditarik tauliah mengajar agama di negeri berkenaan kemudian giat menyebarkan ideologi sesat dan mempunyai kira-kira 20,000 pengikut di media sosial.

Pemerhatian wartawan turut mendapati bahawa lelaki terbabit mengaku tidak ada ulama pada zaman ini dan melabelkan mufti negeri sebagai 'dajal'.

Lelaki itu juga menuduh imam besar seperti Imam Abu Hanifah sebagai 'ulama akal dan nafsu' sedangkan keilmuwan Imam Abu Hanifah sememangnya diakui seluruh dunia Islam.

Pada masa sama, sumber keselamatan memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memantau perkembangan serta ajaran lelaki berkenaan yang berkisar kepada pemikiran 'pro-Wahabi'.

Menurutnya, tindakan lelaki ini yang tinggal di Besut, Terengganu sangat gemar meletakkan label syirik kepada orang lain yang tidak sealiran dengannya.

"Kita sentiasa mengikuti perkembangan lelaki ini kerana ia boleh mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam.

"Corak pemikirannya juga yang gemar mensyirikkan orang yang tidak sealiran dengannya adalah mirip pemikiran ekstremis.

"Kita juga menyalurkan maklumat yang diperoleh kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) khususnya di Terengganu supaya tindakan tegas dapat diambil," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sumber berkenaan juga memaklumkan bahawa setakat ini, anggaran pengikut media sosial milik lelaki itu adalah sekitar 20,000.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menyatakan semua itu pengikut lelaki berkenaan kerana ramai dalam kalangan mereka adalah ahli akademik yang mengkaji pemikiran lelaki itu," katanya.

Katanya, sesiapa saja yang giat menyebarkan ajaran songsang sebenarnya berada dalam radar pihak berkuasa untuk tujuan pencegahan serta pemantauan.

Pahang teliti kewajaran fatwa

Fatwa kesesatan seorang lelaki Syria akan dikeluarkan jika ia turut mengganggu umat Islam di negeri lain.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, pihaknya sentiasa memantau ajaran lelaki terbabit dan tindakan untuk memfatwakan kesesatannya akan dibuat jika ia mengganggu umat Islam negeri Pahang.

"Setakat ini, saya dimaklumkan fatwa berkenaan dikeluarkan untuk Terengganu memandangkan lelaki ini tinggal di situ dan giat menyebarkan ideologi songsang 'pro-Wahabi' menerusi media sosial.

"Kita sentiasa lihat kewajaran fatwa berkenaan daripada semasa ke semasa dan setakat ini, ia tidak membabitkan negeri Pahang.

"Saya fikir jika ia membabitkan negeri lain, pastinya fatwa sama akan dikeluarkan tidak hanya untuk Terengganu saja," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin berkata, pihaknya antara yang terawal melaporkan penyebaran ideologi songsang kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

"Pada masa sama, saya dimaklumkan ada beberapa pihak lain termasuk guru pondok serta pendakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menzahirkan rasa tidak senang terhadap ajaran lelaki ini.

"Lelaki ini menyebarkan ajaran yang tidak harmoni untuk umat Islam, gemar melabelkan orang lain dengan perbuatan syirik serta mengeluarkan kata tohmahan kepada imam mujtahid.

"Tindakannya mencetus rasa tidak harmoni dan saya harap semua pendakwah dapat sebarkan akidah yang sebenar iaitu ASWJ," katanya.

Zamihan menzahirkan terima kasih kepada JHEAT kerana tindakan menggazetkan fatwa pengharaman ajaran lelaki itu.

Katanya, fatwa dikeluarkan adalah jelas dan semua orang khususnya penduduk di negeri berkenaan perlu mengikutinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 11:01 AM