GAMBAR kenangan Mohd Amirul Ridzuan bersama arwah bapanya, Hasan. FOTO Ihsan Mohd Amirul Riduan Hasan
GAMBAR kenangan Mohd Amirul Ridzuan bersama arwah bapanya, Hasan. FOTO Ihsan Mohd Amirul Riduan Hasan
Redzuan Muharam


Kuala Terengganu: "Dulu kalau cari baju raya mesti bawa abah tapi kini tak lagi malah hanya kerusi roda abah saja yang jadi pengubat rindu."

Itu luahan Mohd Amirul Ridzuan Hasan, 28, atau mesra disapa Amirul ketika berkongsi kisahnya yang akan menyambut Aidilfitri tanpa bapanya, Hasan Hamzah.

Bercerita lanjut, Amirul yang menetap di Manir, di sini berkata, sambutan Aidilfitri berbeza sejak bapanya meninggal dunia pada November 2022 akibat penyakit buah pinggang tahap empat.

Pemergian Hasan memberi kesan mendalam buat Amirul yang bukan hanya rapat malah sempat menjaga dan menguruskan bapanya ketika sakit.

"Dulu, saya selalu angkat abah kerana abah duduk di kerusi roda.

"Saya juga yang mandikan, potong rambut, suapkan makan dan minum serta tukar lampin pakai buang.

"Sebelum abah pergi, saya sempat jaga abah di wad selama dua minggu tapi selepas abah tiada memang sunyi.

"Rindu itu membuatkan saya lupa kerana waktu ulang kaji pelajaran, saya teringat abah sudah mandi ke belum sedangkan abah dah tiada...cuma kerusi rodanya saja yang tinggal dan masih saya simpan dalam bilik tidur," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Amirul Ridzuan merenung kerusi roda pernah digunakan arwah bapanya. Gambar kanan, gambar kenangan  Mohd Amirul Ridzuan bersama arwah bapanya. FOTO Ihsan Mohd Amirul Riduan Hasan
MOHD Amirul Ridzuan merenung kerusi roda pernah digunakan arwah bapanya. Gambar kanan, gambar kenangan Mohd Amirul Ridzuan bersama arwah bapanya. FOTO Ihsan Mohd Amirul Riduan Hasan

Amirul berkata, sesibuk mana pun, dia akan mencari masa untuk menziarahi pusara bapanya yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Besut, Terengganu.

Di pusara itu, Amirul meluangkan masanya untuk berdoa dan melepaskan rindu.

"Alhamdulillah, abah kerap datang dalam mimpi dengan senyuman.

"Rezeki saya agaknya walaupun hanya dapat melihatnya dalam mimpi dan sebagai anak, saya sentiasa doakan abah ditempatkan dalam kalangan yang beriman.

"Kini, saya sedang sambung belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kewangan di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tunaikan impian abah dan dalam usaha kumpul duit juga untuk buat upah haji buat abah.

"Demi abah, saya sanggup kerana abah teringin sangat nak mengerjakan haji waktu sakit dulu namun tak kesampaian," katanya.

Tiga tahun lalu, kisah Amirul pernah tular selepas memuat naik video di TikTok mengandungi surat peletakan jawatan yang dihantar dalam tempoh 24 jam sebelum berhenti.

Amirul nekad meletak jawatan dan pulang ke kampung halamannya di Kuala Besut, Terengganu demi menjaga serta menguruskan bapanya yang sakit.

Demi kelangsungan hidup, Amirul menjalankan perniagaan menjual beg secara dalam talian untuk meraih pendapatan.

#kw baju raya, kerusi roda, abah, aidilfitri, pusara, bapa, video, tular, tiktok, kuala terengganu

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 9:09 PM