Kemusnahan terkini Gaza yang dikongsikan Dr Ziad. FOTO Dr Ziad
Kemusnahan terkini Gaza yang dikongsikan Dr Ziad. FOTO Dr Ziad
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sungguh menyedihkan, dengan sumber bekalan air terputus terus akibat dimusnahkan Israel, segelintir penduduk di Gaza, Palestin terpaksa minum air tercemar selain air laut sebagai ikhtiar kelangsungan hidup mereka.

Situasi terkini sedang berlaku di Gaza itu amat membimbangkan kerana penduduk berisiko berdepan dehidrasi dan penyakit bawaan air seperti cacar air, kudis dan cirit-birit yang sudah direkodkan akibat amalan sanitasi buruk serta penggunaan air tidak selamat.

Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Gaza Dr Ziad M M Shehada mengakui kesukaran penduduk di tanah airnya mendapatkan bekalan air bersih pada masa ini.

Katanya, keadaan mendesak itu juga menuntut pengorbanan segelintir penduduk Gaza yang memiliki kenderaan ditarik keldai atau kuda ke tempat terpencil walaupun berdepan bahaya untuk mengambil air sebelum menawarkannya secara percuma kepada orang ramai.

"Apa yang saya saksikan betul-betul buat saya tersentuh. Ketika saya berjalan di satu kem pelarian, saya terjumpa seorang lelaki yang mengalami masalah cakera tergelincir (slipped disc).

Seorang penduduk menawarkan air minuman percuma kepada orang ramai. FOTO FB Dr Ziad
Seorang penduduk menawarkan air minuman percuma kepada orang ramai. FOTO FB Dr Ziad

"Walaupun dalam keadaan sedemikian, lelaki ini berkorban membawa air dari sumber yang jauh kerana memahami kesulitan dialami orang ramai dalam mendapatkan air minuman," katanya dalam catatan di Facebook (FB) beliau, kelmarin.

Graduan Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia kagum dengan semangat lelaki berkenaan yang setia berdiri lama di tepi jalan untuk menyalurkan air minuman percuma kepada orang ramai.

"Dia turut meletakkan papan tanda bertulis, 'air ini percuma, bukan untuk dijual. Sesiapa yang minum, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW'.

"Orang yang lalu lalang di kawasan itu, tidak kira lelaki atau perempuan, berkumpul untuk mendapatkan air minuman.

"Inilah realiti indah kerjasama, kasih sayang dan persaudaraan yang dikongsi rakyat Palestin," katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, Ziad masih tidak dapat dihubungi Harian Metro selepas rumahnya turut dibom kelmarin (waktu Malaysia).

"Rumah kami (bersama keluarga) musnah semuanya. Kami masih hidup. Alhamdulillah untuk segala-galanya," katanya dalam kemas kini terakhir di FB, lebih 24 jam lalu.

Sementara itu, kenyataan pejuang Hamas memaklumkan, sehingga kini rejim Zionis masih terus melakukan serangan udara sekali gus memutuskan semua bekalan air di Semenanjung Gaza terutama kota Gaza dan utara Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 7:01 AM