Orang ramai menyerbu dan beratur panjang bagi mendapatkan roti untuk kelangsungan hidup. FOTO Dr Ziad M M Shehada
Orang ramai menyerbu dan beratur panjang bagi mendapatkan roti untuk kelangsungan hidup. FOTO Dr Ziad M M Shehada
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Terpaksa beratur empat hingga lima jam sehari semata-mata untuk mendapatkan sebuku roti sebelum dicatu bersama keluarga untuk menghilangkan rasa lapar.

Malah, penduduk di Gaza, Palestin terpaksa menggadai nyawa berjalan jauh ke kawasan terpencil dan bahaya demi mencari sumber air bersih untuk kelangsungan hidup setiap hari.

Itu sebahagian keperitan dialami penduduk Palestin ketika Semenanjung Gaza berterusan dikepung dan dibom rejim Zionis yang kini sudah memasuki hari ke-37.

Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Gaza Dr Ziad M M Shehada menyifatkan, keadaan perang kali ini begitu parah berbanding konflik sebelum ini apabila rejim Zionis terus rakus menyasarkan kediaman, hospital dan rumah ibadat hingga menyaksikan angka korban mencecah lebih 11,000 orang.

Menurutnya, situasi itu menuntut penduduk yang terselamat bertahan dengan apa saja cara termasuk mencatu makanan dan minuman kerana sumber begitu terhad demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Sama seperti penduduk Gaza lain, saya dan keluarga termasuk isteri, empat anak dan ibu saya berusia 77 tahun juga melalui kesukaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.

"Kami terpaksa beratur empat hingga lima jam sehari hanya untuk sebuku roti yang dikongsi tujuh beranak dan kadang-kala kami hanya makan nasi kosong saja itupun hanya untuk sekali sehari.

"Kami juga hanya minum sekadar lepas haus kerana untuk mendapatkan air bersih kami perlu berjalan tiga kilometer (km) setiap hari untuk mencari perigi di kawasan pertanian berhampiran sempadan yang sangat bahaya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tentera Israel terus agresif melakukan serangan bukan hanya memusnahkan kawasan tumpuan orang awam, malah memberikan kesan trauma teruk kepada penduduk terutama kanak-kanak.

"Rumah kami di kem pelarian Kota Gaza habis musnah, namun kami berjaya melarikan diri pada hari pertama pencerobohan ke kawasan lebih selamat.

"Situasi pengeboman pada siang hari lebih sedikit iaitu hanya setiap sejam kita mendengar letupan, tetapi pada waktu malam hampir setiap satu minit, penduduk tidak boleh tidur dan anak-anak kecil akan menjerit ketakutan setiap kali mendengar bunyi letupan.

"Macam anak kecil saya sendiri, akan kencing setiap malam kerana trauma dengan bunyi bom," katanya.

Menurutnya, pasukan MyCARE Palestin menggadai nyawa mengedarkan bantuan RM2.5 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia dengan tumpuan kepada sektor perubatan dan keperluan tempat berlindung untuk penduduk yang terselamat.

"Sejak 10 hari lalu, tentera Israel menutup jalan utama dengan menghalangnya menggunakan kereta kebal sehingga menyukarkan kami bergerak ke Gaza, namun kami berusaha menggunakan pelbagai alternatif bagi melancarkan misi bantuan.

"Pasukan MyCARE, bekerja walaupun di kawasan berisiko tinggi dengan memberi tumpuan di kawasan sebelah utara seperti di Hanoun, Beit Lahia dan Jabalia dan seluruh bandar di Gaza City.

"Agihan bantuan ini termasuk barangan perubatan pakai buang, peralatan makmal dan pembedahan.

"Kami juga mengambil risiko besar untuk menghubungi tiga pembekal utama dalam memenuhi keperluan asas untuk keperluan penduduk di sini," katanya sumbangan masih diperlukan kerana harga barangan naik mendadak.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi CIMB Islamic 8602 135 592 atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad dengan menyatakan rujukan Palestin atau layari mycare.qrd.by/palestin

Ziad juga sempat merayu kepada rakyat Malaysia supaya meneruskan sokongan dan berdoa untuk Palestin bagi memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan.

"Hidup ini sukar dan apa yang berlaku kepada kami macam fitnah, sesiapa yang menerima keadaan dan mengucapkan Alhamdulillah, dia akan lulus ujian Allah, manakala sesiapa yang membenci takdir, dia akan gagal dan kehilangan segala-galanya sama ada dunia dan akhirat.

"Jadi, jangan putus doakan Palestin dan kami juga amat mengharapkan dunia jangan berputus asa teruskan menyebarkan isu tentang Palestin dan boikot produk Israel dan negara sekutunya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 3:47 PM