Kandau Sidi


SIKAP masyarakat Penan di Sarawak yang sukar memberi kerjasama kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara punca ada dalam kalangan mereka masih tidak memiliki MyKad dan sijil lahir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, terdapat kes petugas agensi itu dihalau atau dilarang memasuki penempatan Penan walaupun niat mereka untuk mendaftarkan MyKad dan sijil lahir bagi komuniti itu.

Katanya, kes berkenaan pernah dilaporkan berlaku di sebuah penempatan Penan di Baram, sekali gus menyebabkan rombongan petugas JPN itu terpaksa membatalkan niat mereka.

“Ini menyukarkan usaha kerajaan untuk memastikan komuniti Penan memiliki MyKad dan sijil lahir khususnya di kawasan pedalaman Baram,” katanya ketika mengulas mengenai kesukaran JPN mendaftarkan MyKad dan sijil lahir untuk komuniti Penan di Sarawak.

Dennis berkata, kesukaran berhubung dengan Penan menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi petugas JPN menyediakan perkhidmatan mereka.

Beliau menjelaskan masih ramai Penan di Sarawak, khususnya di Baram yang belum memiliki sijil lahir atau MyKad walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendaftarkan komuniti itu.

“Petugas JPN tidak boleh putus asa dengan sikap Penan, sebaliknya meneruskan usaha berkenaan dengan pendekatan yang berbeza untuk kebaikan komuniti berkenaan,” katanya.

Katanya, komuniti Penan perlu dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran petugas JPN supaya mereka tidak keluar memburu atau pergi ke hutan ketika kehadiran petugas agensi itu.

Katanya, masalah ini sering berlaku sekali gus menyebabkan bilangan Penan yang keluar memohon sijil lahir atau MyKad sering kali tidak begitu ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:31 AM