YUNOS menunjukkan peta kedudukan sekolah di Baram.
YUNOS menunjukkan peta kedudukan sekolah di Baram.

Menyedari pentingnya pendidikan terhadap kaum Penan, Pejabat Pendidikan Daerah Baram, Sarawak melancarkan program Kembara Minda bagi menarik minat kanak-kanak dan ibu bapa kaum itu terhadap pelajaran.

Pegawai Pendidikan Daerah Baram Yunos Apok berkata, murid yang terpilih menyertai program itu akan didedahkan mengenai kehidupan di bandar menerusi kerjasama beberapa kolej, institusi pendidikan, penganjuran kelas dewasa untuk ibu bapa, kokurikulum khas untuk kanak-kanak dan kreativiti guru yang mengajar.

Beliau berkata, seramai 120 murid yang akan terpilih menyertai program itu nanti dan ia bakal diisi dengan pelbagai program menarik bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar serta ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan.

“Apabila kumpulan murid ini dibawa ke Miri, mereka akan dibawa merasai kehidupan di bandar, diajar cara berkomunikasi dan membeli barang.

“Secara tidak langsung meningkatkan cara komunikasi murid dengan orang luar serta menyedarkan mereka mengenai kepentingan belajar Matematik kerana diperlukan untuk membeli barang.

“Ia bukan sekadar untuk bergembira, guru akan mengarahkan mereka menceritakan pengalaman dalam bentuk karangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yunos berkata, kelas bagi yang golongan dewasa, terutama ibu bapa akan turut diadakan bagi membolehkan mereka memantau perkembangan anak-anak ketika di rumah.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:16 AM