ANJING K9 bernama Geoffrey menjalani sesi grooming selepas terbabit dalam misi SAR tanah runtuh. FOTO TikTok
ANJING K9 bernama Geoffrey menjalani sesi grooming selepas terbabit dalam misi SAR tanah runtuh. FOTO TikTok
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kecekapan anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika misi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor, pada 16 Disember lalu mendapat pujian ramai.

Malah perkongsian media menerusi video dan gambar anjing K9 sepanjang sembilan hari SAR dijalankan menjadi sohor kini dan tular di laman sosial.

Daripada enam anjing K9 JBPM, antara yang mencuri perhatian adalah aksi Blake, Geoffrey dan Grouse.

Terbaru menerusi hantaran video dimuat naik di akaun TikTok @ipie_ngaranku memaparkan bagaimana anggota JBPM membuat sesi 'grooming' pada Geoffrey dan Grouse.

"Mesti dia rasa hensem (handsome) atau kacak lepas kena potong bulu," tulisnya pada video itu.

Video yang dimuat naik sejak empat hari lalu itu sudah mencecah lebih 400,000 tontonan, lebih 34,000 tanda suka dan lebih 1,600 komen.

Menjawab soalan pengikut akaun itu, menurutnya sesi 'grooming' itu membabitkan mandi, makan dan rehat.

Meninjau di ruangan, kebanyakannya memuji anjing K9 itu comel.

"Nasib tak boleh pelihara," jawabnya kepada salah satu komen.

Difahamkan pemilik akaun itu adalah pengendali unit anjing K9 JBPM berdasarkan kepada beberapa hantaran video lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 4:35 PM