POP digunakan bagi mengesan Ahmad Ammar FOTO Ihsan Bomba
POP digunakan bagi mengesan Ahmad Ammar FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang pernah mengesan mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Disember tahun lalu digunakan untuk mengesan Ahmad Ammar Akhtar Tajul Azwa, hari ini.

Haiwan dari Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu Blake dan Pop hadir pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia tujuh tahun terbabit di Sungai Desa Alam Ria, Batang Kali, di sini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata SAR yang memasuki hari keempat itu dimulakan pada jam 9 pagi tadi dengan operasi dipecahkan kepada dua pasukan.

"Ia membabitkan enam bot dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 JBPM serta agensi bantuan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pasukan penyelamat menggunakan kaedah 'water surface searching' menyusur kiri dan kanan dari hulu ke hilir sungai.

Katanya, kawasan pencarian diperluas sehingga 18 kilometer bermula dari lokasi mangsa terjatuh sehingga ke Sungai Rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 4:53 PM