TAT Meng terkejut dengan tindakan BAM yang mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM, jika ingin menjalankan latihan bersama pada Rabu di ABM. FOTO ARKIB NSTP
TAT Meng terkejut dengan tindakan BAM yang mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM, jika ingin menjalankan latihan bersama pada Rabu di ABM. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Team Lee Zii Jia (LZJ), Wong Tat Meng kesal dengan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mewajibkan pemain profesional tidak boleh memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Menurutnya, beliau sangat terkejut dengan peraturan itu, apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, bermula 21 hingga 27 Ogos ini.

"Sebelum Kejohanan Dunia, BAM memaklumkan pada kami bahawa mereka mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika ingin menjalankan latihan bersama pada hari Rabu," kata Tat Meng di akaun Instagram miliknya, hari ini.

Beliau benar-benar terkejut dengan peraturan itu memandangkan ia dikuat kuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia.

"Sejak Disember tahun lalu, BAM menjemput Lee Zii Jia untuk berlatih bersama pemain naungan BAM setiap Rabu.

"Kami berbesar hati kerana dapat mencapai situasi menang-menang termasuk membantu pemain BAM meningkatkan tahap mereka.

"Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, begitu juga untuk pasukan kami yang bukan sahaja membabitkan Zii Jia, tetapi barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio kami, oleh kerana itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum terbang ke Denmark.

"Apabila BAM menegaskan perkara ini ketika membuat persiapan untuk pertandingan besar, saya secara peribadi berasa seperti dibuli oleh orang besar.

"BAM sering berkata tidak kira pemain kebangsaan mahupun pemain profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia dan kegemilangan dikongsi bersama. Tetapi peraturan ini tidak melambangkan rasa bersama itu," katanya.

BAM ketika ini ditaja syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional pada awal tahun lalu.

Mengulas lanjut, Tat Meng yang memulakan tugasnya selaku jurulatih Zii Jia pada bulan lalu, menjelaskan kenyataan yang dibuat itu adalah bagi mengelakkan sebarang pandangan daripada pelbagai pihak bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan BAM.

"Harap perkara ini dapat dibincangkan pada masa akan datang memandangkan adalah merugikan jika kerjasama antara BAM dan pemain profesional tidak dapat diteruskan.

"Pada penghujung harinya sebarang kebaikan dan kejayaan adalah demi Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:34 PM