HANNAH Yeoh. FOTO FATHIL ASRI
HANNAH Yeoh. FOTO FATHIL ASRI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku antara badan induk itu dengan pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ).

Justeru beliau enggan campur tangan berhubung dan percaya kedua-dua pihak mampu mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu peraturan pemakaian yang ditetapkan untuk pemain profesional bagi menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Saya fikir perkara ini biarlah bagi BAM yang selesaikan kerana ini bukan isu baharu dan Zii Jia bukan satu-satunya pemain profesional, ramai lagi ada. Sebelum ini, BAM boleh selesaikan isu ini.

"(Datuk) Lee Chong Wei juga sudah bersuara, jadi kita biar mereka selesaikan secara dalaman dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebelum ini, Tat Meng menerusi hantaran di Instagram miliknya mendakwa seperti dibuli 'orang besar' selepas BAM mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM.

Katanya, beliau terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung bermula Isnin ini hingga 27 Ogos.

Bagaimanapun, BAM menjelaskan peraturan yang ditetapkan itu sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu dan ia adalah satu obligasi kontrak untuk hanya menggunakan pakaian penaja di ABM.

Kontroversi yang ditimbulkan pasukan Zii Jia turut mendapat reaksi Chong Wei yang menyelar tindakan mereka yang didakwa sengaja mahu mencetuskan isu ketika pemain profesional lain tidak berdepan masalah.

Dalam pada itu, Hannah turut meminta semua pihak memberikan Zii Jia masa bersama jurulatih baharunya, Wong Tat Meng dalam usaha untuk melonjakkan semula prestasinya khususnya bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya percaya dengan adanya jurulatih baharu, Zii Jia dapat tumpukan usaha yang lebih strategik dengan panduan daripada jurulatih.

"Beri masa kepada jurulatih Zii Jia untuk melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 3:59 PM