HARIMAU belang yang berjaya ditangkap di Felda Kerteh 3. FOTO ihsan NWRC
HARIMAU belang yang berjaya ditangkap di Felda Kerteh 3. FOTO ihsan NWRC
Rosli Ilham


Dungun: Seekor harimau belang seberat 160 kilogram berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, di sini, hari ini.

Harimau yang digelar 'Awang Rasau' berusia lingkungan 15 tahun itu berjaya ditangkap jam 11.30 pagi membabitkan seramai 15 anggota Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Dungun dan Kemaman diketuai Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC, Nik Mohd Zamani Awang berkata, anggotanya mengambil masa selama empat jam sebelum berjaya menangkap harimau terbabit.

Menurutnya, pihaknya percaya harimau itu yang dilaporkan menyerang lembu ternakan penduduk.

"Kami menerima menerima aduan daripada penduduk yang terserempak dengan harimau itu petang semalam.

"Kita memulakan operasi menjejak haiwan terbabit pagi tadi dan berjaya mengesannya kira-kira tiga kilometer daripada kawasan haiwan itu ditemui penduduk," katanya ketika ditemui di pejabat Perhilitan daerah Dungun, hari ini.

Nik Mohd Zamani berkata, harimau itu cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sebelum berjaya ditangkap.

"Siasatan mendapati harimau terbabit mengalami kecederaan di perut dan belakang dipercayai terkena tembakan pihak yang tidak bertanggung jawab.

"Kesan kecederaan itu menyebabkan harimau terbabit terpaksa bergerak dengan menggunakan kaki hadapan," katanya.

Katanya, berikutan kecederaan yang dialami, harimau terbabit segera dibawa balik ke NWRC untuk menjalani rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 6:47 PM