TONTO kini dikesan menggunakan kenderaan mewah bagi mengaburi aktiviti mengekori pihak berkuasa.
TONTO kini dikesan menggunakan kenderaan mewah bagi mengaburi aktiviti mengekori pihak berkuasa.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Bukan lagi dianggap golongan tonto 'B40' yang mengekori kenderaan penguat kuasa menaiki pacuan empat roda, Perodua Myvi, kereta Proton model lama atau motosikal.

Kini kumpulan tonto upahan dikesan turut menggunakan kenderaan mewah model Audi, Honda atau BMW untuk tugas penyamaran dan mengekori penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Salah seorang tonto yang mahu dikenali sebagai Kamal, 40-an, berkata, kumpulan tonto upahan masih aktif terutama bagi melindungi lori atau treler yang membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Menurutnya, selain itu tonto upahan turut membantu syarikat korek pasir atau tanah yang tidak memiliki lesen perdagangan (GDL) untuk menghantar muatan ke lokasi ditetapkan.

"Penampilan kumpulan tonto ketika ini jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu yang mudah dikenal pasti pihak berkuasa. Dahulu tonto biasanya akan mengekori kenderaan JPJ dengan menaiki kereta Proton Waja atau pacuan empat roda berwarna hitam.

"Setiap kenderaan turut dilengkapi alat kemudahan komunikasi mobile walkie-talkie untuk menyalurkan maklumat kepada pemandu lori. Namun kini penampilan tonto lebih kemas, menggunakan kenderaan sedan mewah selain sukar dikenal pasti sebagai tonto.

"Apa yang penting tonto masih gigih membantu pemandu lori yang mahu mengejar trip (jumlah penghantaran), sekaligus mendapat komisen tinggi," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Katanya, selain mengekori pergerakan kenderaan pihak berkuasa, ada juga tonto yang memiliki hubungan baik dengan 'orang dalam' yang menyalurkan maklumat operasi agensi penguatkuasa.

Menurutnya, tonto 'orang lama' biasanya meletakkan harga tinggi bagi perkhidmatan ditawarkan terutama membabitkan lori membawa lebih muatan, tiada lesen memandu dan GDL serta cukai jalan tamat tempoh.

"Kenaikan kos sara hidup turut menyebabkan upah tonto meningkat. Kini mereka boleh memperoleh pendapatan sehingga menjangkau RM10,000 sebulan bergantung kepada tugas.

"Biasanya 'team tonto' akan memantau dahulu lokasi bakal dilalui lori atau treler bermasalah ini terutama di jalan persekutuan dan lebuh raya utama.

"Namun masa terbaik bagi lori 'bermasalah' ini bergerak menghantar muatan adalah pada waktu antara jam 2 pagi hingga 7 pagi. Ketika ini operasi atau sekatan jalan raya kurang dilakukan JPJ.

"Tonto turut akan memerhatikan pergerakan keluar masuk kenderaan penguatkuasa JPJ sama ada di pejabat JPJ atau Stesen Timbang hampir setiap masa. Jika terlalu banyak kenderaan yang dilihat 'hilang' dari parkir, itu bermakna ada operasi akan dilakukan," katanya.

Sementara itu, risikan wartawan Harian Metro mendapati golongan tonto terus aktif menggunakan media sosial untuk menyalurkan maklumat keberadaan JPJ dan polis trafik.

Antara ayat biasa digunakan adalah 'Tol Jitra clear (tiada JPJ) kedua arah', 'dari Kuala Lipis - Chegar Perah - Mentara - hentian MFC...jalan clear' , 'Bukit 300 ke Serdang, polis blok (sekatan jalan raya), bulatan keliling Seberang Jaya, abang JPJ operasi' dan pelbagai mesej lain. Kebiasaannya tonto akan turut mengambil gambar curi sekatan jalan raya diadakan selain kenderaan JPJ yang dipantau di stesen timbang JPJ.

KELIBAT kenderaan JPJ yang berhenti untuk makan serta operasi penguatkuasaan JPJ turut diekori dan dirakam tonto.
KELIBAT kenderaan JPJ yang berhenti untuk makan serta operasi penguatkuasaan JPJ turut diekori dan dirakam tonto.

'Tonto tak boleh cabar undang-undang negara!'

Seremban: Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus memperkasakan integriti pasukan penguat kuasa bagi mengatasi kebocoran maklumat operasi kepada pihak luar terutamanya tonto.

Difahamkan, dengan kemudahan teknologi telekomunikasi ketika ini, maklumat termasuk nombor pendaftaran kenderaan pasukan penguatkuasa JPJ serta lokasi operasi begitu mudah dibocorkan sindiket tonto.

Golongan ini dikatakan menubuhkan kumpulan WhatsApp dan Telegram bagi memudahkan mereka menyampaikan maklumat kepada pemandu lori 'bermasalah'.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, isu tonto sudah lama membelenggu pasukan penguatkuasaan di negara ini khusus JPJ.

"Ini bukan perkara baru. Ada juga cubaan untuk mendapatkan maklumat daripada orang dalaman dan sebagainya.

"Kita akan terus memperkasakan integriti. Pasukan penguatkuasaan kita ini akan terus ditambah baik. JPJ akan cuba mengatasi segala kelemahan supaya maklumat tidak bocor ke pihak luar," katanya ketika diminta mengulas mengenai kegiatan tonto yang mengganggu operasi JPJ.

Beliau berkata, apa sahaja kaedah atau cara yang digunakan tonto tidak terlepas daripada undang-undang negara ini.

"Kita tahu mereka adalah sindiket yang cuba untuk mengatasi tindakan penguatkuasaan kita, tetapi JPJ akan terus mengambil tindakan dan mencari kaedah supaya dapat memperketatkan penguatkuasaan ini.

"Tonto tidak boleh mencabar undang-undang negara kita. Apapun helah dan cara mereka untuk mengganggu tugas kita, JPJ akan terus juga mencari kaedah lebih berkesan bagi penguatkuasaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 8:00 AM