ANGGOTA JPJ mengeluarkan saman ke atas lori ditinggalkan. FOTO AZRUL EDHAM
ANGGOTA JPJ mengeluarkan saman ke atas lori ditinggalkan. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Hasbi


Seremban: Usaha memerangi kumpulan tonto kian sukar apabila 'tentera upahan' syarikat lori ini menggunakan kecanggihan teknologi komunikasi untuk menyalurkan maklumat pergerakan pihak berkuasa dengan pantas

Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengakui kehadiran tonto yang memerhatikan setiap pergerakan pasukan penguatkuasa tanpa mengira masa memberikan cabaran utama dalam menjalankan tugas.

Malah kewujudan pelbagai aplikasi dan laman media sosial membolehkan tonto menghantar maklumat dengan pantas ke telinga pemandu lori bermasalah.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, ancaman tonto ini menyebabkan pihaknya perlu memikirkan kaedah licik dan alternatif bagi mengekang kumpulan itu.

Menurutnya, terdapat segelintir tonto upahan yang bertindak agresif bagi memastikan lori dilindungi mereka tidak diambil tindakan.

"Ancaman tonto bukan 'main-main'. Contohnya kes kenderaan tonto cuba menghalang kenderaan pihak kastam yang cuba menahan sebuah lori membawa muatan minuman keras tidak bercukai di Johor Bahru pada 22 April lalu.

"Dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas kenderaan barangan terutama yang membawa muatan berlebihan, JPJ tidak terlepas daripada ancaman tonto yang berusaha melindungi pergerakan lori.

"Sindiket tonto yang diupah segelintir pengusaha syarikat lori akan memainkan peranan mereka untuk melindungi dan memberikan maklumat kepada pemandu lori yang melakukan kesalahan ini," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Hanif Yusabra berkata, maklumat disalurkan tonto ini memberi kesukaran kepada anggota penguatkuasa mengambil tindakan terhadap lori bermasalah ini kerana mereka sudah mendapat maklumat awal.

ANGGOTA JPJ melakukan pemeriksaan ke atas tayar sebuah lori.
ANGGOTA JPJ melakukan pemeriksaan ke atas tayar sebuah lori.

"Tonto juga bertindak agresif dan di luar batasan dalam usaha mengelak lori dilindungi mereka daripada dikenakan tindakan. Ada antara tindakan itu berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan mungkin boleh menyebabkan kerosakan harta benda awam," katanya.

Beliau mengakui sindiket tonto semakin canggih dalam menyalurkan maklumat pergerakan pihaknya tanpa bergantung lagi pada alat komunikasi walkie talkie.

"Mereka kini menggunakan pelbagai kaedah teknologi komunikasi terkini dan media sosial untuk berkongsi maklumat dengan pantas kepada beratus pemandu lori dalam sekelip mata.

"Dalam memerangi taktik mereka, kami juga perlu agresif dengan memikirkan cara lain seperti taktik penyamaran, risikan dan menggunakan teknologi dron.

"Kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga diperkukuhkan bagi mengatasi permasalahan berkaitan tonto," katanya.

Menurutnya, kesalahan membabitkan aktiviti tonto boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Jelas beliau, di Negeri Sembilan terdapat beberapa lokasi panas yang sering dikesan berlakunya kesalahan membawa barangan lebih muatan seperti di Nilai, Pedas dan Kuala Pilah.

"Di lokasi ini, tonto didapati amat aktif dan sentiasa memberi perlindungan kepada kenderaan berat ini," katanya.

Beberapa lori pasir memberhentikan operasi setelah mendapat informasi daripada tonto kehadiran penguatkuasa JPJ. FOTO AZRUL EDHAM
Beberapa lori pasir memberhentikan operasi setelah mendapat informasi daripada tonto kehadiran penguatkuasa JPJ. FOTO AZRUL EDHAM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 12:00 PM