MOHAMAT Johari menunjukkan lori yang melebihi muatan ketika Ops Lebih Muatan. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
MOHAMAT Johari menunjukkan lori yang melebihi muatan ketika Ops Lebih Muatan. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
BERNAMA

STRATEGI penguatkuasaan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang membawa hasil apabila 398 kenderaan termasuk lori tipper dumper berjaya dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Lebih Muatan di negeri ini bermula 21 Jun lalu sehingga semalam.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, strategi membabitkan unit risikannya ternyata lebih berkesan dalam membendung lori membawa lebih muatan berbanding strategi sebelum ini yang sering diganggu tonto yang bertapak di pejabat JPJ.

“Operasi kami sering terganggu oleh tonto yang bertapak di pejabat JPJ tidak kira siang atau malam, jadi JPJ Pulau Pinang mengambil beberapa pendekatan baharu iaitu menggunakan unit risikan untuk membuat pemantauan awal sebelum memaklumkan kepada penguat kuasa bagi mengambil tindakan.

“Sekarang anggota (unit risikan) kami tidak mereka (tonto) kenali untuk memantau pergerakan lori membawa lebih muatan supaya penguatkuasaan dapat dijalankan,” katanya selepas Ops Lebih Muatan di Butterworth, malam tadi.

Katanya, menerusi operasi itu, JPJ Pulau Pinang mengambil pendekatan mengadakan rondaan penguatkuasaan di lebuh raya dan jalan utama untuk mengesan lori membawa lebih muatan.

Mohamat Johari berkata, sepanjang operasi itu, JPJ memeriksa 678 kenderaan perdagangan yang membawa muatan berat dan mengeluarkan 791 saman terhadap pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya saman dikeluarkan berikutan kesalahan membabitkan lebih muatan (271), kesalahan muatan bahaya (35), tiada lesen memandu (110), lesen memandu tamat tempoh (12), kesalahan teknikal (359) dan kesalahan utama (empat).

“Operasi kali ini memberi tumpuan kepada lori tipper dumper yang menyalahgunakan kelulusan tambah dinding bagi tujuan membawa barang pertanian.

“Tindakan tindakan pemandu lori yang tidak mematuhi undang-undang hanya mendatangkan kerosakan kepada struktur jalan raya serta risiko kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, katanya JPJ menerima alat timbang mudah alih yang lebih ringan dan mudah dibawa ke lokasi bagi memudahkan penguatkuasaan dijalankan terhadap pemilik kenderaan perdagangan terutama lori yang membawa lebih muatan.

Beliau berkata, peralatan baharu dari Jepun itu diterima awal tahun ini dan membantu penguat kuasa JPJ negeri untuk menimbang lori.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:21 PM