KEADAAN serta kemusnahan akibat konflik di Idlib, Syria.
KEADAAN serta kemusnahan akibat konflik di Idlib, Syria.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Idlib, Syria: Konflik enam penjuru. Itu yang dihadapi oleh rakyat negara ini sehingga mengakibatkan konflik berdarah berlarutan lebih sedekad lalu sejak kebangkitan masyarakat Arab (Arab Springs).

Ia turut membabitkan peranan kuasa besar sehingga menjadikan Syria sebagai 'papan catur' dalam konflik terbabit dan rakyatnya menerima kesan langsung pembabitan negara kuasa besar ini.

Berdasarkan rekod, lebih 230,000 rakyat Syria terkorban sejak konflik itu melanda negara berkenaan dan daripada jumlah itu, lebih 30,000 adalah kanak-kanak. Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, Syria menghadapi konflik enam penjuru membabitkan Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pecahan kumpulan pembebasan yang lain. Beliau yang juga Duta Muslim Care Malaysia (MCM) berkata, setiap pihak yang terbabit dalam konflik berdarah ini mempunyai kepentingan tersendiri untuk memperluaskan pengaruh atau memanipulasi hasil bumi Syria.

"Jika dilihat kepada pecahan wilayah kekuasaan, Syria dipecahkan kepada beberapa wilayah iaitu penguasaan di bawah pemerintahan Bashar al-Assad serta penyokongnya, wilayah seliaan Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) dan wilayah yang tidak dipunyai oleh mana-mana pihak.

"Wilayah yang tidak dipunyai mana-mana pihak seperti bandar yang terletak berhampiran dengan Homs dan masih berlaku pertempuran untuk perebutan tempat berkenaan.

"Pada masa sama, konflik itu didominasi oleh Rusia selaku sekutu rapat regim Bashar, manakala peranan AS yang mahu mendominasi telaga minyak di negara ini," katanya.

Menurutnya, semua faktor berkenaan menjadikan Syria sebagai 'perang proksi' kuasa besar dan pihak yang menderita adalah rakyat negara itu sendiri.

Katanya, kebanyakan telaga minyak ini berdekatan dengan kawasan Al-Tanf dan Hasakah yang terletak kira-kira 380 kilometer daripada Aleppo iaitu pusat pemerintahan Syria.

"Saya lihat sendiri penderitaan rakyat Syria, mereka bukan saja menjadi mangsa perang tetapi berdepan dengan isu ketiadaan pendapatan, kekurangan pendedahan tentang pendidikan dan jika konflik berterusan, keadaan pasti lebih buruk.

"Apa yang kita boleh dilakukan adalah menyalurkan bantuan sama ada bersifat 'one-off' ataupun melaksanakan projek lestari jangka panjang sekali gus mampu meringankan beban rakyat Syria," katanya.

ZULKIFLI (kiri) bersama pelajar di sekolah Muslim Care Malaysia di Ariha di Idlib.
ZULKIFLI (kiri) bersama pelajar di sekolah Muslim Care Malaysia di Ariha di Idlib.

Trauma diserang Zionis 36 jam

Biarpun sudah empat kali berdepan dengan serangan bom di Yaman, Semenanjung Gaza dan Syria, namun pengalaman terbabit masih memberi kesan yang mendalam.

Malah, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan pernah melalui pengalaman lebih trauma di Semenanjung Gaza pada 2019 apabila rejim Zionis melancarkan serangan selama 36 jam.

"Pengalaman di Semenanjung Gaza adalah yang paling meninggalkan kesan kerana letupan bom itu berlaku kurang 50 meter dari kediaman dan ketika itu dalam misi kemanusiaan sempena sambutan Ramadan.

"Terbaharu, saya serta semua sukarelawan MCM termasuk petugas media merasai letupan bom ketika melaksanakan misi di Syria, kelmarin (Ahad lalu).

"Walaupun sudah empat kali berdepan dengan detik cemas berkenaan, namun perasaan gementar serta gerun itu masih ada dan menjadi trauma dalam kehidupan saya," katanya.

Beliau berkata, ini adalah cabaran besar buat sukarelawan misi kemanusiaan kerana mereka berdepan dengan situasi tidak menentu dan kebanyakan misi membabitkan kawasan yang tidak aman serta konflik peperangan.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukan transaksi menerusi akaun Maybank MCM 564490413882 atau melayari Facebook (FB) rasmi Muslim Care Malaysia Society.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, tanggungjawab besar serta amanah daripada penyumbang perlu dilaksanakan serta ditunaikan tanpa mengira keadaan.

"Insya-Allah, ini bantuan untuk saudara Islam kita yang sedang dihimpit dengan masalah serta ujian daripada Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 7:10 AM