Janna Nick dan Dini Schatzmann
Janna Nick dan Dini Schatzmann
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selepas lebih dua bulan bergelar isteri, pelakon Janna Nick akan berjauhan selama dua minggu daripada suaminya, Dini Schatzmann kerana menjalani penggambaran drama Surat Dari Tuhan di Tanah Suci Makkah.

Janna, 28, berkata, dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 10 September ini dan secara tidak langsung pertama kali meninggalkan suami tersayang dalam tempoh lama di atas urusan kerja.

"Dua minggu akan tinggalkan Dini di Malaysia sebab pergi ke Makkah untuk urusan penggambaran drama. Tapi, kita pun pergi ke tempat suci untuk beribadah, selain pada masa sama bekerja juga.

"Sebenarnya, nak bawa Dini sekali. Tapi, sebab benda ini pun atas dasar kerja, jadi saya rasa ia macam tidak manis kalau nak bawa suami. Pada saya, kerja tetap kerja dan kalau betul-betul nak pergi beribadah, nanti kita pergi lagi," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Janna ditemui pada sidang media Teater Muzikal Kanak-Kanak, Pak Pandir & Labu Ajaib terbitan produksi JN Studio & Entertainment miliknya di Glass House Seputeh, di sini.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner berkata, dia yakin untuk meninggalkan seketika suaminya dan berharap semua baik-baik saja sehingga kembali semula ke tanah air.

"Selepas majlis perkahwinan kami, ini adalah kali pertama terpaksa berjauhan dengan Dini dalam tempoh yang lama. Lagi pula, Dini perlu membantu saya menguruskan sesi latihan pelakon untuk Teater Muzikal Kanak-Kanak, Pak Pandir & Labu Ajaib.

"Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 15 Oktober depan. Jadi, kami ada jadual masa latihan yang terhad iaitu kira-kira sebulan saja sebelum pementasan berlangsung. Apapun, semoga semuanya lancar," katanya.

Mengenai karakternya dalam drama Surat Dari Tuhan itu, Janna berkata, dia berlakon sebagai antagonis yang paling jahat sekali. Katanya, dia juga sudah faham watak itu akan mengundang kebencian ramai.

Terdahulu, Janna selamat bernikah dengan Dini yang juga pelakon di Langkawi, Kedah pada 10 Jun lalu dalam acara serba meriah dihadiri ibu bapa, keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat yang diundang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 4:42 PM