GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zaid Salim

am@hmetro com.my

Marang: Seorang maut manakala dua lagi cedera ringan selepas dipanah petir dalam kejadian di Kampung Padang Tanjung, berdekatan Masjid Padang Tanjung, Bukit Payong, di sini, petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Hasan Mohd Rani, 38, dari Kampung Surau Haji Mat Zin, manakala dua mangsa cedera ringan dikenali sebagai Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dari Kampung Gemuroh, dan Abdul Hisyam Muhamad dari Kampung Paya Resak, di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dikatakan berlaku jam 6 petang ketika tiga sahabat terbabit dikatakan sedang memikat burung di kawasan tanah lapang di kampung berkenaan.

Beliau berkata, berikutan hujan lebat serta ribut petir, semua mangsa yang sedang memikat burung kemudian mencari tempat berlindung di kawasan berkenaan.

"Mangsa dikatakan berlindung di bawah pokok berhampiran tempat mereka memikat burung sebelum disambar petir.

"Tempias dari panahan itu turut terkena dua lagi rakannya yang juga berada di bawah pokok berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata, Mohd Hasan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payung.

Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat bagi memastikan punca kematian sebenar.

Manakala, dua lagi rakannya dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 11:42 PM