Zaid Salim


Marang: Lelaki dalam perjalanan untuk makan malam di Pantai Peranginan Kelulut maut selepas motosikal ditungganginya melanggar Proton Persona yang membuat pusingan 'U' di Kilometer (KM) 19 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Seberang Marang, 9.13 malam tadi.

Mangsa, Wan Shahril Izwan Wan Mohd Kamalrubahrum, 20, dari Kampung Batu Putih, di sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kelulut.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Proton Saga, guru lelaki, 52, yang mengajar di Kulim, Kedah dalam perjalanan dari arah sama dikatakan berhenti di kedai menjual satay di kiri jalan.

Menurutnya, selesai membeli satay, lelaki terbabit membuat pusingan 'U' untuk ke rumah mentuanya di Kampung Rusila, di sini.

"Pada masa sama, mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum melanggar tepi kanan kereta terbabit.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Pemandu serta dua lagi penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkuta Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 11:09 AM