NUR Faiha Arissa bersama ibu, Tunku Nur’Ain dan bapanya, Mohd Firdaus. FOTO Ihsan Mohd Firdaus Mustaji
NUR Faiha Arissa bersama ibu, Tunku Nur’Ain dan bapanya, Mohd Firdaus. FOTO Ihsan Mohd Firdaus Mustaji
Redzuan Muharam

Rawang: Pertemuan semula Nur Faiha Arissa Mohd Firdaus, 7, dengan ibunya, Tunku Nur'Ain Tunku Sahar pada 11 April lalu selepas sebulan mereka 'terpisah' menjadi detik paling memilukan buatnya apabila wanita itu sudah tidak bernyawa lagi.

Menerusi perkongsian video TikTok yang dimuat naik rakan baik arwah, Siti Hajar Abd Aziz, kelihatan Nur Faiha Arissa menangis ketika duduk di sisi jenazah ibunya sebelum ditenangkan oleh neneknya, Jamaah Abd Manan, 63.

Berkongsi kisah menyedihkan itu, Mohd Firdaus Mustaji, 40, berkata, Nur Faiha Arissa adalah anak bongsu daripada tiga beradik hasil perkahwinannya dengan Tunku Nur'Ain, 35, dan yang paling rapat dengan arwah.

Disebabkan itu, Nur Faiha Arissa terlalu sedih dengan pemergian ibunya kerana tahu mereka akan berpisah buat selama-lamanya walaupun usianya masih kecil.

"Nur Faiha Arissa sangat manja dengan isteri, malah hubungan mereka ibarat kawan baik kerana anak sering dibawa ke tempat kerja dan tak pernah ditinggalkan.

"Cuma, mereka terpisah sejak isteri ditahan di wad. Kali terakhir Nur Faiha Arissa bertemu ibunya pada 18 Mac lalu iaitu selepas isteri dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh," katanya.

TANGKAP layar video Nur Faiha Arissa  yang menangis ketika berada di sisi jenazah ibunya. FOTO Ihsan Mohd Firdaus Mustaji
TANGKAP layar video Nur Faiha Arissa yang menangis ketika berada di sisi jenazah ibunya. FOTO Ihsan Mohd Firdaus Mustaji

Menceritakan kisah penderitaan Tunku Nur'Ain, Mohd Firdaus yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, isterinya itu disahkan ada masalah kebocoran buah pinggang sejak berusia 10 tahun lagi.

Menurutnya, keadaan buah pinggang isterinya semakin teruk selepas disahkan menghidap Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.

"Bacaan buah pinggangnya tidak stabil, kejap naik dan turun terutama selepas dijangkiti Covid-19.

"Luarannya, isteri nampak normal dan boleh ke sana sini sehingga tidak sedarkan diri dengan tiba-tiba pada 12 Februari lalu lalu dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam sebelum doktor mengesahkan buah pinggangnya sudah berada pada tahap akhir.

"Menurut doktor lagi, buah pinggang isteri tidak boleh berfungsi dengan baik kerana gagal memproses protein dan air kencing," katanya.

GAMBAR kenangan Nur Faiha Arissa  bersama ibunya, Tunku Nur’Ain. FOTO Ihsan Mohd Firdaus Mustaji
GAMBAR kenangan Nur Faiha Arissa bersama ibunya, Tunku Nur’Ain. FOTO Ihsan Mohd Firdaus Mustaji

Menurut Mohd Firdaus, isterinya ditahan di wad selama sembilan hari bermula 12 Februari sehingga 21 Februari sebelum dibenarkan pulang ke rumah, namun keadaannya semakin teruk walaupun sudah menjalani rawatan dialisis.

"Sepatutnya keadaannya semakin okay selepas dialisis, tetapi badannya seolah-olah tidak boleh terima (rawatan).

"Saya ada bertanya dengan rakan dan kenalan pesakit, namun diberitahu ia normal. Akan tetapi, keadaannya semakin teruk menyebabkan isteri dimasukkan pula ke Hosptal Sungai Buloh pada 18 Mac lalu.

"Isteri ditidurkan pada 5 April lalu dan doktor beritahu dia sudah tiada harapan kerana paru-paru kanan serta kirinya tidak berfungsi, bernanah dan jantung tidak berdegup dengan baik hingga mengakibatkan masalah hati.

"Keadaan itu membuatkan saya reda dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Ditakdirkan, isteri menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.50 pagi pada 11 April lalu di ICU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 12:00 PM