ROSMANIZA bersama anaknya Nur Airis Arissa yang mengidap kanser mata. FOTO Saifullizan Tamadi.
ROSMANIZA bersama anaknya Nur Airis Arissa yang mengidap kanser mata. FOTO Saifullizan Tamadi.
Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Ketabahan seorang ibu teruji apabila tangannya yang dulu menghayun buaian kini menghalau lalat daripada menghurung wajah anak perempuannya apabila ketumbuhan pada mata kiri kanak-kanak itu semakin besar dan membusuk.

Itu derita ditanggung Rosmaniza Salleh, 37, berikutan anak tunggalnya, Nur Airis Arissa Norimi Fazli, 5, bertarung nyawa dengan kanser mata kronik yang dihidapi selepas tiga bulan dilahirkan.

Lebih memilukan apabila kanak-kanak itu berulang kali mengucapkan terima kasih kepada ibunya seolah-olah tahu ‘masanya’ semakin dekat.

Menurut Rosmaniza, dia hanya berlakon ceria di hadapan Nur Airis Arissa kerana tidak mahu menjejaskan emosi anaknya yang tidak stabil.

“Saya perlu tunjuk saya gembira biarpun anak tidak boleh melihat, namun dia tahu sekiranya saya sedih melihat keadaannya. Kini, Arissa sering ucapkan ‘terima kasih mama, sebab jaga Arissa. Arissa sayang mama’.

“Naluri keibuan saya tersentak dengan sikapnya itu, dan hanya Allah SWT dapat ubati hati ini daripada terus bersedih serta menyalahkan diri kerana gagal memberi kehidupan yang baik kepada Arissa,” katanya di kediamannya di Taman Bukit Mewah, Kajang.

Menurut Rosmaniza yang bekerja sebagai operator kilang di Bangi, dia dan suami reda dengan ketentuan Tuhan apabila diamanahkan menjaga anak yang menderita penyakit kanser mata kronik itu.

“Bukan kuasa saya memilih anak sihat, malah saya perlu menjaga amanah Allah SWT sebaik mungkin tanpa merungut.

“Ini bahagian saya di dunia dan wajib saya terima dengan hati terbuka. Saya harap dapat jumpa Arissa di syurga nanti jika diizinkan-Nya,” katanya.

Sel kanser mata yang dialami Nur Airis Arissa merebak aktif dan pada masa sama sesi kimoterapi serta radioterapi juga sudah tamat.

“Saya akur dengan keputusan hospital apabila diminta membawa anak pulang dan hanya meluangkan masa bersamanya.

“Sebelum ini, doktor beri Arissa masa sehingga pertengahan tahun lalu, namun saya percaya semangat anak sangat kuat untuk hidup biarpun dia hanya terlantar,” katanya.

Menurut Rosmaniza, keadaan anaknya bertambah kronik sehingga memaksanya mengambil cuti tanpa gaji, selain mengikat perut bagi memastikan kebajikan Nur Airis Arissa terjaga.

“Mujur pihak majikan memberi kelonggaran untuk menjaga anak kerana ajal mungkin menjemput anak pada bila-bila masa.

“Pengasuh sebelum ini bimbang terjadi perkara buruk pada Arissa semasa dalam jagaannya. Jadi saya ambil cuti tanpa gaji untuk urus anak saya,” katanya.

Orang ramai yang sudi menyalurkan sumbangan boleh menyampaikannya melalui akaun Maybank 104068164068 atas nama Rosmaniza Salleh.

Katanya, sejak Ogos tahun lalu, ketumbuhan yang membesar di muka anaknya turut mengeluarkan bau busuk.

“Saya buntu mencari penyelesaian kerana tiada ubat sesuai untuk mencuci mata yang semakin bengkak.

“Buat masa ini, saya hanya memastikan Arissa selesa ketika berada di rumah dan menggembirakannya dengan permainan kerana doktor pun tidak beri jaminan anak mampu bertahan (hidup) lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:34 AM