Najiy Jefri


Kehadiran bulan Ramadan sememangnya dinanti-nantikan seluruh umat Islam.

Malah, kedatangan Ramadan yang mulia ini juga menjadi pilihan masyarakat khususnya umat Islam untuk mengikuti segala pengisian menarik yang disajikan di kaca TV.

Media Prima Berhad (MPB) antara syarikat televisyen gergasi yang sentiasa menyediakan pelbagai program bermanfaat kepada penonton setianya.

Tampil dengan kempen Seindah Kasih, MPB akan menyemarakkan pelbagai Ramadan 2023 menerusi semua platform yang dimiliki iaitu di TV3, TV9, Tonton, Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Primeworks Studios, Berita Harian, Harian Metro, Oh Bulan, Seismik, Xtra, Sirap Limau, Waktu Solat Malaysia dan Big Tree.

Tema Seindah Kasih dipilih sebagai pesanan kepada umat Islam sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati, terutama selepas mengharungi pelbagai ujian ketika berhadapan Covid-19, termasuk bencana alam yang meragut nyawa serta merosakkan harta.

Kempen itu menampilkan beberapa selebriti seperti Mimi Lana, Anas Ridzuan, Siti Saleha, Luqman Hafidz, Shasha Abedul, Meerqeen, Anna Jobling, Ruhainies, Daniel Fong, Ain Edruce termasuk Ejen Ali sebagai wajah kempen.

Lebih menarik, lagu tema Seindah Kasih turut disampaikan Bil Musa dan naib juara program Terpaling Juara, Aqmal Ramdan.

Menyentuh mengenai program menarik yang akan disajikan, TV3 sentiasa tampil dengan idea kreatif dan pengisian menarik seperti program Tanyalah Ustaz Seindah Kasih, Tanyalah Ustaz Juz 'Amma, Jejak Rasul Ulama Pewaris Rasul III, Sembang Sahur, Sahabat Backpacker, Jalan-Jalan Cari Makan Ramadan, Jom Berbuka dan Apa Nak Masak Ni? dan Pesan Makan.

Selain itu, antara drama yang bakal disajikan kepada penonton adalah Jaga Aku Selamanya, Melur Untuk Firdaus 2, Bukan Puteri Lindungan Bulan, Misteri Flat Kirana, Sekali Aku Bahagia, Bintang dan Kerasnya Takdir.

TV9 pula bakal menyajikan program yang membincangkan mengenai al-Quran bersama asatizah pilihan dan program realiti masakan, Dapur Tempur Ra-Ra yang dihoskan Yasmin Hani.

Platform penstriman di bawah MPB, Tonton turut meriah dengan pelbagai tayangan istimewa seperti Tonton Original: Seindah Kasih The Movie, Tonton Soundstage X Seindah Kasih termasuk Tonton Original: Penggali Kubur dan Miss Sleepwalker.

Sempena bulan keberkatan ini juga, MPB sekali lagi tampil dengan program khidmat masyarakat dengan menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung.

Program yang dinamakan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang akan disiarkan di TV3 itu bakal mengunjungi rumah anak yatim, orang tua, golongan ibu tunggal dan B40 bagi mengagihkan set berbuka puasa dan barangan keperluan asas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:30 AM